Proton serah unit terakhir Persona selepas 473,346 unit terjual

Proton serah unit terakhir Persona selepas 473,346 unit terjual

TIMBALAN Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Datuk Ir. Abdul Rashid Musa, Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Dr. Li Chunrong, Yeu Qi Jie (pelanggan) dan Naib Presiden Jualan dan Pemasaran Proton, Zhang Qiang, meraikan penyerahan unit terakhir Proton Persona yang menandakan berakhirnya perjalanan kejayaan model itu selama 19 tahun dengan jumlah jualan sebanyak 473,346 unit dalam pasaran domestik dan eksport.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Proton meraikan penyerahan unit terakhir Proton Persona kepada pelanggan selepas model sedan segmen B itu mencatatkan jualan terkumpul sebanyak 473,346 unit dalam pasaran domestik dan eksport sejak diperkenalkan pada 2007.

Pencapaian itu mencerminkan penerimaan pelanggan terhadap Persona sebagai sedan mampu milik yang menawarkan gabungan ruang, keselesaan dan kepraktisan untuk kegunaan harian serta perjalanan jarak jauh.

Pengarah Jualan Proton Edar, Ong Chee Wooi berkata, Persona mendapat sambutan dalam kalangan keluarga Malaysia kerana menawarkan ciri sedan mampu milik yang memenuhi keperluan pengguna.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Proton Persona mendapat tempat dalam kalangan keluarga Malaysia kerana ia memenuhi keperluan pelanggan terhadap sebuah sedan mampu milik. 

“Ia menawarkan ruang untuk keluarga, keselesaan bagi perjalanan jauh dan keyakinan pemanduan yang sinonim dengan kereta Proton,” katanya dalam kenyataan. 

Sejak diperkenalkan, Persona menjadi antara model penting dalam rangkaian sedan Proton, khususnya sebagai pilihan kepada pelanggan yang memerlukan kenderaan keluarga dengan ruang penumpang dan bagasi lebih luas.

Model berkenaan turut memainkan peranan sebagai pilihan naik taraf bagi pemilik kereta pertama yang memerlukan kenderaan lebih praktikal apabila keperluan harian dan keluarga semakin berkembang.

Dilancarkan pada 15 Ogos 2007, Persona mengambil alih peranan sedan Wira dengan menggunakan platform Proton GEN 2, namun hadir dengan reka bentuk badan dan susun atur ruang yang disesuaikan untuk memenuhi keperluan pembeli sedan.

Model itu kemudian menjadi penyumbang penting kepada jualan Proton, malah mengatasi jualan model asal yang menjadi asas pembangunannya serta menerajui jualan sedan segmen B di Malaysia.

Generasi kedua Persona diperkenalkan pada 23 Ogos 2016 berasaskan platform Proton Iriz dengan penambahbaikan dari segi keselamatan, kehalusan pemanduan dan kepraktisan.

Model itu turut menerima kemas kini pada 2019 dan 2021 bagi memastikan daya saingnya kekal relevan seiring perubahan keperluan serta jangkaan pelanggan.

Sementara itu, beliau berkata, peranan Persona dalam rangkaian sedan PROTON kini diteruskan menerusi Proton S70 1.5 i-GT yang ditawarkan dalam varian Lite dan Prime.

“Model berkenaan dilengkapi enjin 1.5 liter i-GT aspirasi semula jadi yang dipadankan dengan transmisi CVT bersama penukar tork bagi memberikan pengalaman pemanduan lebih lancar.

“Kabin luas serta lantai ruang penumpang belakang yang hampir rata turut meningkatkan keselesaan, khususnya bagi kegunaan keluarga.

“Kedua-dua varian dilengkapi enam beg udara, kamera undur dan sistem peringatan tempat duduk belakang, selain ciri sambungan tanpa wayar Apple CarPlay dan Android Auto serta brek parkir elektrik dengan fungsi Auto Brake Hold.

“Proton S70 1.5 i-GT ditawarkan pada harga atas jalan tanpa insurans bermula RM56,800 bagi varian Lite dan RM59,800 bagi varian Prime selepas mengambil kira rebat pembelian awal sebanyak RM3,000, tertakluk kepada terma dan syarat,” ujarnya. 

Chee Wooi berkata, Proton S70 1.5 i-GT menawarkan nilai tambah kepada pelanggan menerusi ruang lebih luas, keselesaan dan teknologi moden.

“Proton Persona telah menetapkan jangkaan tinggi terhadap nilai yang patut diterima pelanggan. Penggantinya, Proton S70 1.5 i-GT, membolehkan kami memberikan lebih banyak manfaat kepada mereka.

“Pelanggan kini boleh memiliki sedan yang lebih luas dan selesa dengan ciri moden, sambil terus menikmati kepraktisan serta kelebihan utama yang mereka hargai,” katanya.-UTUSAN

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini