KUALA LUMPUR: Malaysia Aviation Group (MAG) menempah 10 pesawat Boeing 787 Dreamliner dengan pilihan mendapatkan enam lagi bagi memodenkan armada dan menyokong pertumbuhan jangka panjang kumpulan itu.
Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAG, Kapten Nasaruddin A Bakar berkata, nilai katalog keseluruhan 16 pesawat berkenaan termasuk enjin ialah AS$9.3 bilion (kira-kira RM38.22 bilion), sebelum mengambil kira sebarang diskaun.
Beliau berkata, nilai itu turut merangkumi enam pesawat tambahan yang masih menjadi pilihan MAG dan tidak menggambarkan harga akhir bagi 10 pesawat yang ditempah.
Menurutnya, pemerolehan itu dibuat berdasarkan perancangan rangkaian penerbangan bagi tempoh 15 tahun akan datang, peningkatan pengalaman pelanggan serta aspek ekonomi pesawat dan enjinnya.
“Antara elemen yang diambil kira dalam pemilihan pesawat ini ialah perancangan rangkaian penerbangan bagi tempoh 15 tahun akan datang, peningkatan pengalaman pelanggan dan paling penting, aspek ekonomi pesawat serta enjinnya.
“Pesawat ini akan bersama kami untuk tempoh yang panjang, dengan perancangan sehingga sekitar 2045,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Menandatangani Pemerolehan Pesawat itu di sebuah hotel di sini semalam.
Menurutnya, 10 pesawat berkenaan dijadual diterima secara berperingkat antara 2032 hingga 2035 bagi menggantikan tujuh pesawat Airbus A350-900 yang kini dioperasikan Malaysia Airlines.
Beliau berkata, Boeing 787 dijangka menggunakan kira-kira 25 peratus kurang bahan api berbanding pesawat generasi terdahulu, sekali gus membantu MAG mengawal kos operasi.
“Penggunaan pesawat generasi baharu dalam armada MAG ketika ini sudah meningkatkan kecekapan bahan api sekitar 12 hingga 14 peratus.
“Kecekapan bahan api semakin penting dalam persekitaran kos operasi yang mencabar, terutama susulan harga bahan api yang tinggi sehingga mendorong MAG mengurangkan kira-kira enam peratus kapasiti penerbangannya tahun ini,” katanya.
Beliau berkata, pesawat dan produk baharu itu juga berpotensi meningkatkan hasil bagi setiap penumpang, namun tambang akan terus ditentukan secara dinamik berdasarkan permintaan dan penawaran.
Katanya, MAG terbuka menilai beberapa pilihan termasuk jual dan pajak balik, pajakan operasi serta pajakan kewangan bagi membiayai pemerolehan berkenaan.
“Tempahan itu dibuat ketika permintaan pesawat di seluruh dunia tinggi.MAG turut menyediakan pelan kesinambungan perniagaan berikutan penghantaran pesawat yang diterimanya kini lewat secara purata antara tiga hingga tujuh bulan,” katanya.
MAG menyasarkan jumlah armada meningkat daripada 101 pesawat ketika ini kepada 129 menjelang 2035, termasuk pesawat bagi operasi kargo dan Firefly.
Dalam pada itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, MAG perlu terus memperkukuh daya saing dan menarik pelabur bagi memastikan kedudukannya kekal kukuh dalam industri penerbangan global.
Katanya, MAG dan Malaysia Airlines berpotensi menjadi pemain utama industri penerbangan sekiranya terus menunjukkan daya tahan dalam menghadapi ketidaktentuan global.
Beliau berkata, kerajaan menerusi Khazanah Nasional kekal komited dalam memastikan kejayaan kedua-dua entiti berkenaan memandangkan pertumbuhan mereka penting kepada industri penerbangan dan negara.
Menurutnya, cabaran kenaikan harga bahan api turut memberi tekanan kepada syarikat penerbangan, namun MAG perlu menanggung kos berkenaan mengikut harga komersial.
“Saya tidak perlu menyentuh mengenai kenaikan harga bahan api yang sememangnya menjadi kebimbangan kepada syarikat penerbangan dan negara secara keseluruhannya.
“Saya telah melaksanakan tanggungjawab saya dalam memastikan harga RON95 untuk rakyat Malaysia adalah antara yang terendah di dunia. Namun, saya tidak boleh berbuat demikian untuk syarikat penerbangan.
“Malaysia Aviation Group, Kapten Nasaruddin, anda perlu membayar harga komersial,” katanya.
Anwar berkata, sekiranya MAG terus menunjukkan daya tahan, mengurus operasi secara cekap, menarik pelaburan dan memperkukuh industri, kumpulan itu berupaya mewujudkan peluang baharu untuk pertumbuhan.-UTUSAN











