TUMPAT: Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) dan Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) di Ipoh, Perak kini menjadi sasaran sindiket penyeludupan dadah selepas kawalan ketat pihak berkuasa di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, terdapat cubaan untuk menggunakan kedua-dua lapangan terbang itu sebagai laluan alternatif.
“Sindiket berkenaan tidak akan berdiam diri, sebaliknya sentiasa mencari ruang dan peluang baharu untuk meneruskan kegiatan penyeludupan dadah.
“Jadi kita percaya lapangan terbang lain juga akan jadi sasaran sindiket ini,” katanya ketika ditemui selepas Lawatan Kebajikan dan Penyerahan Replika Cek Insuran Kelompok Koperasi Polis Diraja Malaysia (PDRM) kepada waris anggota polis di Kampung Geting di sini hari ini.
Sebelum ini, penyeludup dadah dipercayai beralih menggunakan lapangan terbang lain termasuk di Pulau Pinang dan Kota Bharu selepas menyedari penggunaan teknologi pengesanan lebih canggih di KLIA.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perubahan taktik itu menyebabkan kerajaan perlu memperluas penggunaan teknologi kamera litar tertutup (CCTV) analitik kecerdasan buatan (AI) bagi mengesan kegiatan penyeludupan dadah di pintu masuk negara.
Hussein berkata, Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah mengambil dan merancang tindakan jangka pendek, sederhana dan panjang bagi memperkukuh kawalan keselamatan di semua lapangan terbang di Malaysia.
“KDN akan mengetatkan kawalan di lapangan terbang, bukan sahaja di KLIA tetapi semua lapangan terbang di Malaysia,” katanya. – UTUSAN











