PETALING JAYA: Bukan sekadar rupa paras sebaliknya sifat kelakar penyanyi, Syamel menjadi antara faktor yang membuatkan isterinya, Ernie Zakri mula jatuh hati terhadapnya.
Ernie atau nama sebenarnya Nur Ernie Shahirah Zakr mendedahkan perasaan itu mula timbul selepas suaminya menyertai program realiti nyanyian Akademi Fantasia (AF).
Menurut penyanyi itu, keletah bersahaja Syamel sering membuatkannya ketawa sehingga sakit perut.
“Kalau nak tahu, saya suka dia waktu selepas AF inilah sebab dia kelakar, saya gelak sampai sakit perut.
“Manis itu ada juga waktu itu. Sekarang, manis banyak,” katanya di Threads.
Lebih menarik, menurut penyanyi Masing-Masing itu, sifat kelakar suaminya itu tidak pernah berubah, malah masih menjadi penghibur hati ketika berada di rumah.
Keletah Syamel itu turut diwarisi anak mereka, Nur Khawla Soleha, 4.
“Sampai sekarang pun dia macam ini di rumah. Anak ikut dia,” ujarnya.
Untuk rekod, Ernie Zakri mendirikan rumah tangga bersama Syamel pada 26 Mac 2021.
Hasil perkongsian hidup selama lima tahun, pasangan ini dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Nur Khawla Soleha. – UTUSAN











