APABILA anak pulang membawa keputusan peperiksaan, perkara pertama yang sering ditanya ialah markah yang diperoleh. Namun, pencapaian akademik bukan satu-satunya ukuran kejayaan.
Keupayaan membantu orang lain, menghormati rakan dan mengakui kesilapan turut mencerminkan peribadi seseorang.
Jika Malaysia mahu melahirkan modal insan berkualiti, kecemerlangan ilmu perlu diseimbangkan dengan pembentukan akhlak, adab dan tanggungjawab.
Ilmu membolehkan seseorang memahami masalah, manakala akhlak membimbingnya membuat keputusan dengan mengambil kira kepentingan orang lain.
Pekerja yang cekap mengurus kewangan, perlu berani melaporkan kesilapan dalam rekod walaupun tindakan itu mungkin merugikan dirinya. Kejujuran sedemikian membuktikan keupayaan seseorang bukan hanya terletak pada kemahiran tetapi juga integriti.
Pembentukan pekerti bermula di rumah melalui teladan ibu bapa. Sikap menepati janji, menghormati orang lain dan meminta maaf apabila tersilap mengajar anak tentang adab dalam kehidupan sebenar.
Tanggungjawab pula boleh dipupuk melalui tugasan mengikut usia, seperti mengemas rumah atau menyediakan keperluan persekolahan sendiri.
Di sekolah, nilai murni boleh diterapkan melalui aktiviti berkumpulan. Murid perlu belajar mendengar pandangan, membahagikan tugas secara adil dan menghargai sumbangan setiap ahli. Pengalaman ini membentuk sikap amanah serta kesedaran kejayaan bersama memerlukan kerjasama.
Perkembangan teknologi turut menuntut kebijaksanaan dan disiplin. Murid perlu dibimbing menyemak kesahihan maklumat, meminta izin sebelum berkongsi gambar serta mengelakkan penyebaran kandungan yang boleh menjatuhkan maruah orang lain. Penggunaan kecerdasan buatan (AI) perlu disertai tanggungjawab memastikan maklumat disemak dan hasil tugasan benar-benar difahami.
Selain itu, golongan muda perlu dibimbing menghadapi kegagalan tanpa mudah berputus asa. Sokongan keluarga dan guru membantu mereka mengenal pasti kelemahan, memperbaiki usaha serta berani mendapatkan bantuan apabila diperlukan.
Dalam masyarakat majmuk, semangat hormat-menghormati boleh diperkukuh melalui kegiatan kejiranan, gotong-royong dan aktiviti sukan. Interaksi sedemikian memberi peluang kepada generasi muda mengenali perbezaan budaya serta belajar bekerjasama demi kepentingan bersama.
Usaha ini perlu diteruskan di tempat kerja dan dalam urusan awam. Pemimpin yang terbuka menerima teguran, membetulkan kesilapan serta menjelaskan keputusan menunjukkan bahawa integriti bukan sekadar slogan, sebaliknya amalan yang perlu dicontohi. -UTUSAN
CHE RAHMAH AHMAD
Parit Sulong, Batu Pahat, Johor.











