TAIPING: Seorang pembantu kedai makan yang ditahan selepas disyaki menikam bayi perempuan yang baru dilahirkannya sehingga maut dua minggu lalu, dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh
Tertuduh, Nurul Iman Najiha Abdullah, 19, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret R. Prabakaran.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa membunuh bayi perempuan yang merupakan anak kandungnya di kawasan kebun kelapa sawit di belakang sebuah rumah di Kampung Panchor, Pantai Remis, antara 14 hingga 16 November 2026.
Pertuduhan terhadap wanita itu dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mati jika sabit kesalahan atau penjara sehingga 40 tahun dan jika tidak dihukum mati hendaklah dihukum sebat tidak kurang 12 sebatan.
Dalam prosiding di mahkamah sama, tertuduh bersama seorang lelaki, Mohamad Aidil Eikmal, 19, turut didakwa atas pertuduhan menyembunyikan kelahiran bayi perempuan berkenaan dengan cara mengebumikan mayat bayi itu secara sulit di lokasi, tarikh dan masa yang sama.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan itu, Nurul Iman Najiha mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan manakala Mohamad Aidil mengaku bersalah.
Timbalan Pendakwa Raya, Farihah Adilah Fazial menawarkan jaminan sebanyak RM50,000 bagi setiap tertuduh untuk pertuduhan mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan.
Beliau turut memohon satu tarikh baharu bagi sebutan semula untuk penyerahan fakta kes dan menjatuhkan hukuman terhadap Mohamad Aidil.
Bagaimanapun, kedua-dua tertuduh yang diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Nurul Hanis Mohd. Zaini merayu agar jumlah jaminan dikurangkan atas alasan mereka masih muda, berusia 19 tahun serta bekerja sebagai pembantu kedai makan dan buruh binaan dengan pendapatan bulanan sebanyak RM1,100 dan RM1,400.
Mahkamah kemudian membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan dua orang penjamin bagi setiap seorang.
Mahkamah turut menetapkan 4 Januari depan untuk sebutan semula kes bagi lantikan peguam dan penyerahan dokumen terhadap Nurul Iman Najiha manakala bagi Mohamad Aidil, tarikh berkenaan ditetapkan untuk penyerahan fakta kes, laporan sosial dan menjatuhkan hukuman. – UTUSAN










