KUALA LUMPUR: Penghantaran bekalan, ubat-ubatan dan sampel perubatan ke kawasan pedalaman Sabah antara penggunaan teknologi dron yang berpotensi dilaksanakan menerusi pembangunan Ekonomi Altitud Rendah negara.
Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Sim Tze Tzin berkata, keluasan negeri, bentuk muka bumi serta jarak antara penempatan dengan pusat perkhidmatan menjadikan Sabah antara negeri yang mempunyai asas kukuh untuk dipertimbangkan bagi pembangunan bidang ekonomi baharu itu.
Beliau berkata, selain perkhidmatan logistik dron, teknologi berkenaan turut berpotensi dimanfaatkan dalam sektor pertanian pintar dan pemantauan tanaman.
“Sabah merupakan antara negeri yang mempunyai asas yang kukuh untuk dipertimbangkan, khususnya berdasarkan keluasan negeri, bentuk muka bumi, jarak antara penempatan dengan pusat perkhidmatan serta keperluan untuk meningkatkan akses dan ketersambungan di kawasan pedalaman.
“Saya secara peribadi telah berjumpa dengan Ketua Menteri Sabah pada 7 September 2026, disusuli dengan mesyuarat dua hala dengan Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah.
“Kami turut membincangkan mengenai pelaksanaan Projek Ekonomi Altitud Rendah ini di negeri Sabah. Kerajaan mengalu-alukan cadangan ini dan perbincangan lanjut sedang diteruskan di antara MITI dengan kerajaan negeri.
“Berdasarkan ciri dan keperluan tersebut, antara kes penggunaan yang berpotensi dilaksanakan di Sabah termasuklah perkhidmatan logistik dron ke kawasan pedalaman, khususnya bagi penghantaran bekalan, ubat-ubatan dan sampel perubatan; pertanian pintar dan pemantauan tanaman; pemeriksaan jalan raya, jambatan, utiliti serta infrastruktur kritikal; pemetaan dan pemantauan alam sekitar.
“Selain pengurusan bencana serta operasi mencari dan menyelamat; serta pembangunan latihan, kemahiran dan peluang pekerjaan dalam bidang teknologi berkemahiran tinggi.
“Kesemua kes penggunaan tersebut akan dinilai secara terperinci dalam pembangunan pelan hala tuju ini, termasuk bagi menentukan kesesuaian sesuatu lokasi sebagai makmal hidup,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Riduan Rubin (Bebas-Tenom) yang meminta kerajaan menyatakan menyatakan sama ada Sabah akan dipertimbangkan sebagai lokasi Ekosistem Lembah Tanpa Pemandu di bawah RMK13 bagi membangunkan industri Ekonomi Altitud Rendah termasuk logistik dron, pertanian pintar, pemantauan infrastruktur dan mewujudkan pelaburan serta pekerjaan berkemahiran tinggi.
Tambah Tze Tzin, kerajaan bersedia untuk mempertimbangkan semua negeri, termasuk Sabah, sebagai lokasi pembangunan Ekonomi Altitud Rendah dengan penetapan daerah dalam negeri sebagai living laboratory atau regulatory sandbox.
“Pada masa yang sama, kerajaan turut meneliti bentuk sokongan dan insentif yang bersesuaian bagi menggalakkan penglibatan syarikat tempatan dan pemain teknologi dalam pelaksanaan projek rintis.
“Sebarang keputusan berhubung pemilihan lokasi, bentuk pelaksanaan dan penyediaan insentif akan berpandukan dapatan kajian bagi pembangunan pelan hala tuju tersebut serta tertakluk kepada kesesuaian kes penggunaan, aspek keselamatan operasi dan ruang udara, kesediaan infrastruktur, ketersediaan peruntukan serta kelulusan pihak berkuasa yang berkaitan,” katanya. – UTUSAN










