Anwar beri penghormatan terakhir kepada A. Samad Said

Anwar beri penghormatan terakhir kepada A. Samad Said

ANWAR Ibrahim memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham A. Samad Said di Masjid Saidina Abu Bakar as-Siddiq - FACEBOOK ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham Sasterawan Negara, Datuk Seri A. Samad Said di Masjid Saidina Abu Bakar as-Siddiq, Bangsar, di sini, malam tadi.

Anwar berkata, negara kehilangan seorang pendidik bangsa yang mengabdikan seluruh hidupnya kepada bidang sastera, seni dan budaya.

Beliau turut mengenang persahabatannya dengan Allahyarham yang banyak memberikan sokongan ketika berada di penjara.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Pak Samad yang saya kenali adalah antara sahabat yang tetap setia tatkala saya terbungkam di penjara, dan surat-surat yang kami utuskan antara satu sama lain memberi saya kekuatan dalam menempuh saat-saat sukar, sementara persahabatan kami terus mekar selepas saya dibebaskan.

“Ketika kita bangkit melawan kezaliman, Pak Samad teguh dengan prinsipnya, menyuntik semangat lewat kata-katanya, menyumbang buah fikiran dan menjadikan puisi sebagai senjata perjuangan, dengan suara yang lembut namun pendirian yang tegas,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Menurut Anwar, menerusi penulisan dan puisinya, Allahyarham mendidik masyarakat supaya lebih peka terhadap penderitaan insan serta berani menyuarakan kebenaran.

“Selamat jalan, Pak Samad. Surat-suratmu akan sentiasa terpahat dalam ingatan, begitu juga kesetiaan seorang sahabat yang hadir tatkala saya amat memerlukannya,” katanya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri dan isterinya, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail turut mendoakan agar seluruh ahli keluarga Allahyarham dikurniakan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi kehilangan tersebut.

Beliau turut mendoakan agar Allah SWT mengampuni segala dosa Allahyarham, merahmati rohnya dan menempatkannya dalam kalangan hamba-Nya yang soleh.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada pukul 6.10 petang semalam pada usia 91 tahun selepas menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini