LOS ANGELES: Seorang anggota tentera Amerika Syarikat (AS) berdepan hukuman penjara sehingga 10 tahun selepas mengaku bersalah menyalurkan maklumat ketenteraan sensitif kepada pembeli yang mempunyai kaitan dengan China.
Sarjan Tentera Darat, Jian Zhao, 37, menyalahgunakan pelepasan keselamatannya bagi mencuri pelbagai dokumen sulit ketenteraan.
Zhao didakwa mengambil gambar maklumat ketenteraan menggunakan telefon bimbit serta menawarkan untuk menjual komputer tentera dan pemacu keras kerajaan, selain butiran mengenai rangkaian komunikasi, sistem roket dan peluru berpandu serta latihan ketenteraan.
“Berdasarkan pengakuannya, Zhao merupakan anggota Angkatan Tentera AS mengkhianati negara yang dia bersumpah untuk pertahankan dengan membekalkan maklumat ketenteraan sensitif AS kepada kerajaan China,” kata Penolong Pengarah Bahagian Perisikan Balas dan Pengintipan Biro Siasatan Persekutuan (FBI), Roman Rozhavsky.
Jabatan Kehakiman AS memaklumkan selama lebih tiga tahun, Zhao bersubahat dengan bekas anggota tentera AS, Ruoyu Duan, bagi mendapatkan serta memindahkan maklumat dan peralatan pertahanan negara kepada pembeli di China.
Duan yang sebelum ini mengaku bersalah atas pertuduhan bersubahat menyalurkan maklumat pertahanan negara bertindak merekrut anggota tentera AS yang masih aktif termasuk Zhao, selain menguruskan komunikasi serta transaksi kewangan dengan pihak pembeli di China.
Zhao ditahan di kediamannya di Washington pada Mac 2025 dengan pihak berkuasa turut merampas wang tunai berjumlah AS$30,000 (RM123,312), peranti elektronik serta beberapa pemacu keras milik tentera.
Tertuduh berdepan hukuman maksimum penjara 10 tahun, denda AS$250,000 (RM1.02 juta) dan tempoh pelepasan di bawah pengawasan sehingga tiga tahun, dengan tarikh jatuh hukum dijadualkan pada 1 Mac 2027.– AGENSI











