KUALA LUMPUR: IOIPG Malaysia Real Estate Investment Trust (IOIPG REIT) membuat penampilan sulung di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada harga 87 sen sesaham, dibuka rendah 0.04 sen atau 4.40 peratus berbanding harga tawaran awam permulaan (IPO) sebanyak 91 sen.
Sebanyak 2.14 juta unit saham diniagakan pada loceng pembukaan di bawah nama saham IOIREIT dengan kod saham 5359.
Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Pengarah Eksekutif IOIPG REIT Management Sdn. Bhd., Chris Chong berkata, penyenaraian itu merupakan pencapaian penting bagi IOIPG REIT dalam memulakan operasinya sebagai amanah pelaburan hartanah (REIT) tersenarai di Bursa Securities.
“Penyenaraian ini memberi peluang kepada pelabur untuk melabur dalam portfolio hartanah runcit, hospitaliti dan pejabat yang mempunyai rekod prestasi kukuh, dengan IOI City Mall sebagai aset utama yang juga merupakan pusat beli-belah terbesar di Malaysia.
“Selain kualiti portfolio awal, kami percaya IOIPG REIT turut mendapat sokongan daripada pengalaman dan keupayaan penaja kami, IOI Properties Group Berhad (IOIPG).
“Fokus kami adalah untuk menguruskan hartanah dengan berkesan, memperkukuh daya saing serta meneroka peluang yang dapat menyokong pendapatan mampan dan nilai jangka panjang kepada pemegang unit,” katanya semasa majlis penyenaraian syarikat itu di Pasaran Utama.
IPO berkenaan, yang merupakan IPO REIT terbesar di Malaysia setakat ini, berjaya mengumpul hasil sebanyak RM2.0 bilion untuk IOIPG selaku penaja IOIPG REIT.
IOIPG REIT disenaraikan dengan permodalan pasaran kira-kira RM5.0 bilion berdasarkan harga IPO akhir RM0.91 seunit dan jumlah dana terbitan sebanyak 5.5 bilion unit.
Portfolio awal IOIPG REIT merangkumi sembilan aset dengan nilai penilaian keseluruhan kira-kira RM7.66 bilion setakat 31 Mei 2026.
Maybank Investment Bank Berhad dan AmInvestment Bank Berhad bertindak sebagai Penasihat Utama Bersama, Penyelaras Global Bersama, Pengurus Buku Bersama, Pengurus Utama Pengunderaitan Bersama dan Penaja Jamin Bersama bagi IPO berkenaan.
DBS Bank Ltd pula bertindak sebagai Penyelaras Global Bersama dan Pengurus Buku Bersama.
CIMB Investment Bank Berhad, Hong Leong Investment Bank Berhad, RHB Investment Bank Berhad dan UOB Kay Hian (M) Sdn. Bhd. merupakan Pengurus Buku Bersama dan Penaja Jamin Bersama, manakala Oversea-Chinese Banking Corporation Limited bertindak sebagai Pengurus Buku Bersama.-UTUSAN











