PETALING JAYA: Naratif politik berasaskan kaum dan agama dibawa pembangkang masih mempengaruhi penerimaan pengundi terhadap Pakatan Harapan (PH) khususnya dalam perdebatan mengenai kedudukan orang Melayu, agama Islam dan kepentingan institusi tradisional.
Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisommudin Bakar berkata, serangan politik berterusan terhadap DAP sebagai parti komponen PH turut membentuk persepsi negatif terhadap gabungan itu dalam kalangan pengundi Melayu.
Katanya, keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 memperlihatkan sokongan pengundi Melayu terhadap PH masih terhad dengan sebahagian besar undi Melayu terbahagi antara Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN).
“Berdasarkan pemerhatian lapangan Ilham Centre dalam beberapa siri pilihan raya negeri, meskipun isu ekonomi dan kos sara hidup mendominasi keresahan pengundi sebelum kempen bermula, sentimen identiti kembali menonjol apabila memasuki fasa kempen pilihan raya.
“Persepsi terhadap PH turut dipengaruhi oleh rekod pentadbiran, kenyataan pemimpin komponennya, konsistensi dasar kerajaan serta sejauh mana kebimbangan pengundi terhadap isu kaum dan agama ditangani secara meyakinkan.
“Setelah empat tahun menerajui pentadbiran negara, penerimaan terhadap kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri tidak semestinya diterjemahkan kepada sokongan terhadap PH sebagai sebuah entiti politik,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Semalam, akhbar ini melaporkan,selepas genap empat tahun mentadbir negara, Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim disifatkan sebagai kerajaan paling stabil sejak Pilihan Raya Umum Ke-14 pada 2018.
Hisommudin Bakar berkata, PH perlu menilai potensi kerjasama dengan parti Melayu yang berpengaruh dan mempunyai jaringan akar umbi bagi memperluas sokongan menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16.
Katanya, kejayaan kerjasama itu bergantung pada keserasian antara parti, penerimaan penyokong masing-masing serta sejauh mana kesepakatan antara parti dapat diterjemahkan kepada perpindahan undi.
“Pendekatan komunikasi politik perlu dinilai bukan sekadar daripada aspek kandungan dan medium penyampaian tetapi juga sejauh mana ia mencerminkan kefahaman terhadap realiti kehidupan dan hati nurani masyarakat.
“Pertumbuhan ekonomi, peningkatan pelaburan dan kestabilan politik tidak semestinya diterjemahkan kepada sokongan politik sekiranya rakyat masih terbeban dengan kos sara hidup,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Urusan Global Asia Consulting, Dr. Zokhri Idris berkata, PH perlu memastikan Belanjawan 2027 dilaksanakan dengan berkesan di seluruh negara serta memberi tumpuan kepada pengundi atas pagar dalam kalangan M40 bagi meraih semula sokongan.
Katanya, antara cabaran yang dihadapi PH adalah pengaruh naratif politik berasaskan kaum dan agama yang masih kuat dalam kalangan penduduk luar bandar serta di empat negeri iaitu Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu.
“DAP masih dianggap sangat negatif dalam kalangan pengundi Melayu yang melihat parti itu sebagai ancaman kepada Islam dan orang Melayu.
“DAP juga tidak dinilai secara objektif oleh pengundi Melayu berdasarkan peranan wakil parti itu sebagai menteri dan timbalan menteri,” katanya.-UTUSAN.










