Kerjasama BN-PH sukar jadi realiti

Kerjasama BN-PH sukar jadi realiti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerjasama Barisan Nasional (BN) dengan Pakatan Harapan (PH) menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka sukar menjadi realiti berdasarkan situasi politik semasa.

Antaranya termasuklah keputusan DAP Melaka menarik diri daripada kerajaan negeri yang merupakan isyarat penolakan politik yang kuat terhadap BN.

Ditambah pula dengan serangan terhadap UMNO dalam Kongres PKR yang semakin mengecilkan ruang untuk kedua-duanya bekerjasama di Melaka.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisommudin Bakar berkata, sebaliknya, kerjasama BN dengan Perikatan Nasional (PN) lebih berpotensi direalisasikan sekiranya rundingan kerusi dapat mencapai titik temu dan PN bersedia mengendurkan tuntutannya.

“Ini bukan soal siapa menjadi ‘pak turut’, tetapi siapa yang sanggup menerima formula demi mengelakkan pertembungan sesama sendiri.

“Gelombang penyatuan Melayu dan ummah juga berpotensi sampai ke Melaka kerana sentimen tersebut semakin kuat dalam kalangan pengundi Melayu.

“Tekanan akar umbi boleh memaksa UMNO dan PN mencari kesepakatan, khususnya jika pengalaman Johor dan Negeri Sembilan dijadikan rujukan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Hisommudin bagaimanapun berkata, undi masyarakat Cina tetap penting kerana lima daripada tujuh kerusi yang belum dikuasai BN merupakan kerusi DAP dengan majoriti yang agak besar.

“Cuma PH tidak boleh lagi menganggap undi Cina sebagai deposit tetap. Sokongan asas itu menunjukkan tanda kemerosotan, sedangkan PH belum jelas tentang calon Ketua Menteri dan belum membuktikan keupayaan menembusi segmen Melayu selepas gagal memberikan cabaran yang meyakinkan di Johor dan Negeri Sembilan.

“Melaka memang berpotensi menjadi makmal politik baharu untuk menguji sama ada BN mahu bergerak solo atau membentuk penjajaran bersama PN,” katanya.

Katanya, ketika ini, BN dilihat sedang membuat penilaian akhir terhadap kekuatan sebenar jenteranya sebelum memuktamadkan keputusan.

Jelasnya, Perhimpunan Agung UMNO boleh menjadi medan penting untuk membina semula moral ahli, mengukur tekanan akar umbi dan membentuk mandat politik menjelang PRN.

“Jika nada perhimpunan itu keras terhadap PH dan menekankan penyatuan Melayu, laluan ke arah kerjasama BN-PN akan menjadi lebih jelas.

“Sebaliknya, jika BN memilih bergerak solo, PRN Melaka akan menjadi ujian paling tepat sama ada kemenangan 21 kerusi dahulu masih bertahan atau sekadar hasil daripada konteks pilihan raya yang tidak lagi sama,” katanya.

Pada masa sama, Hisommudin berkata, situasi politik di Melaka meletakkan UMNO dan BN dalam kedudukan yang agak rumit kerana kemenangan 21 daripada 28 kerusi DUN pada PRN lalu sememangnya memberikan BN kelebihan besar, tetapi keputusan itu tidak boleh dibaca secara terpisah daripada prestasi parti itu pada PRU15.

Di peringkat Parlimen, katanya, BN gagal memenangi sebarang kerusi dan perbezaan ketara antara dua keputusan ini menunjukkan bahawa kekuatan BN belum benar-benar stabil dan sangat dipengaruhi oleh kadar keluar mengundi serta komposisi pengundi yang mengambil bahagian.

“Pada PRN Melaka, daftar pemilih belum memasukkan sepenuhnya pertambahan pengundi berikutan pelaksanaan Undi18 dan pendaftaran automatik, manakala kadar keluar mengundi hanya sekitar 65 peratus.

“Ketika PRU15, jumlah pengundi bertambah dan kadar penyertaan meningkat sehingga kira-kira 79 peratus, lalu menghasilkan keputusan yang hampir terbalik. Realiti inilah yang menjadi asas kepada PN untuk menuntut lebih banyak daripada baki tujuh kerusi yang akan dirundingkan.

“PN boleh berhujah bahawa keputusan Parlimen lebih hampir menggambarkan kekuatan semasa kerana melibatkan mobilisasi pengundi yang lebih menyeluruh,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN