Razali Idris beri bayangan sertai Pas - Utusan Malaysia

Razali Idris beri bayangan sertai Pas

RAZALI IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Bekas Pengerusi Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Terengganu, Datuk Razali Idris memberi bayangan kemungkinan menyertai Pas selepas menyelesaikan tanggungjawabnya dalam parti itu.

Beliau berkata, buat masa ini, beliau mahu menumpukan perhatian kepada tugasnya selagi masih menjadi ahli Bersatu, manakala keputusan isterinya, Datin Nor Aizam Abu Bakar menyertai Pas tidak pernah dihalang.

Menurutnya, perbezaan haluan politik antara suami isteri bukan lagi sesuatu yang perlu menjadi penghalang, malah beliau menghormati keputusan Nor Aizam untuk meneruskan perjuangan bersama Pas.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya kena habiskan tugas saya dalam parti saya. Selagi saya sebagai ahli, saya habiskanlah. Jadi isteri saya itu memang dia rasa hendak pergi ke Pas.

“Suami isteri sekarang politiknya bukan macam dulu lagi. Jadi saya tidak halang dia. Biarlah dia dengan cara dia, lagipun kawan-kawannya ramai dalam Pas, jadi dia boleh berjuang bersama-sama,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Kalendar Acara Pelancongan dan Kebudayaan (CoE) sempena Tahun Melawat Terengganu 2027 di sini.

Mengulas lanjut mengenai kedudukannya dalam Bersatu, Razali menegaskan beliau tidak pernah menghantar surat keluar parti, sebaliknya hanya melepaskan jawatan sebagai Ketua Badan Pimpinan Bersatu negeri pada 7 Ogos lalu selepas kira-kira 10 tahun menerajui parti itu di Terengganu.

Razali berkata, statusnya masih ahli biasa dan mahu terus mempertahankan prinsip perjuangan serta menegur parti sekiranya berlaku sebarang penyelewengan.

Bagaimanapun, ditanya sama ada beliau berkemungkinan mengikuti langkah isterinya menyertai Pas selepas menyelesaikan tanggungjawab dalam Bersatu, Razali mengakui perkara itu tidak mustahil.

“Insya-Allah, kemungkinan besarlah tu. Doakan saya sihat, saya mampu lagi untuk membantu parti dan kerajaan. Jika saya boleh berkhidmat lagi, insya-Allah saya akan ada bersama-sama dengan anda semua,”katanya.

Terdahulu, pada Jumaat lalu Nor Aizam diumumkan secara rasmi menyertai Pas oleh Pengarah Program, Sheikh Mohd Hanafi Abdul Aziz sempena Pelancaran Jentera Pilihan Raya Pas Terengganu bagi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) dan Himpunan Teguh Memimpin Terengganu (TMT 2.0) di Dungun. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini