IPOH: Belanjawan Negeri Perak 2027 mencipta sejarah apabila jumlah RM1.69 bilion yang dibentangkan merupakan yang terbesar pernah diumumkan sebelum ini.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, daripada jumlah itu, RM1.1 bilion diperuntukkan bagi Belanja Mengurus, manakala RM593 juta bagi Belanja Pembangunan.
Katanya, belanjawan berkenaan mencatatkan peruntukan tertinggi dalam sejarah negeri berbanding Belanjawan 2026 berjumlah RM1.61 bilion dan Belanjawan 2025 sebanyak RM1.52 bilion.
Beliau berkata, peruntukan pembangunan meningkat RM25 juta atau 4.4 peratus berbanding tahun sebelumnya dan merupakan jumlah tertinggi dalam sejarah belanjawan negeri.
“Peningkatan ini membawa makna besar kerana menyediakan ruang lebih luas untuk meneruskan pelaksanaan projek infrastruktur dan memperkukuh kemudahan awam.
“Selain itu, ia membolehkan kegiatan ekonomi dirancakkan dan pelbagai usaha pembangunan yang menjadi keutamaan rakyat disempurnakan,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Negeri Perak 2027 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, semalam.
Menurut Saarani, belanja bagi maksud mengurus berjumlah RM1.1 bilion merangkumi emolumen sebanyak RM508.2 juta, perkhidmatan dan bekalan (RM391.5 juta), pembelian aset (RM12.3 juta), pemberian dan kenaan bayaran tetap (RM181.3 juta) serta lain-lain perbelanjaan (RM6.6 juta).
Katanya, bagi mendukung perancangan tersebut, kerajaan negeri mengunjurkan hasil dan terimaan pembangunan sebanyak RM1.565 bilion, meningkat RM47 juta berbanding tahun 2026.
Katanya, jumlah itu merangkumi hasil cukai sebanyak RM719 juta, hasil bukan cukai (RM554 juta), terimaan bukan hasil (RM250 juta) dan terimaan pembangunan (RM42 juta).
“Belanjawan Negeri 2027 dirangka dengan unjuran defisit sebanyak RM128 juta, namun angka itu tidak semestinya menggambarkan kedudukan kewangan sebenar pada akhir tahun,” katanya.
Katanya, Belanjawan 2026 sebelum ini dirangka dengan unjuran defisit RM95.5 juta, namun kutipan hasil negeri meningkat kepada RM1.244 bilion sehingga 23 November 2026.
“Insya-Allah, dengan momentum kutipan hasil yang terus diperkukuh dan perbelanjaan yang dikawal secara berhemat,.
“Kerajaan negeri menjangkakan Perak sekali lagi mencatatkan lebihan kewangan pada penghujung tahun 2026, sekali gus melengkapkan pencapaian surplus lima tahun berturut-turut,” katanya.-UTUSAN











