PH Negeri Sembilan desak BN-PN hentikan pertelingkahan - Utusan Malaysia

PH Negeri Sembilan desak BN-PN hentikan pertelingkahan

terkini
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan mendesak kepimpinan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) menghentikan segera pertelingkahan politik yang didakwa menyebabkan kemelut politik dan pentadbiran negeri berlarutan lebih 100 hari.

Majlis Pimpinan Negeri PH Negeri Sembilan berkata, pertikaian berpanjangan itu bukan sahaja menjejaskan keutamaan pentadbiran negeri, malah menimbulkan kebimbangan terhadap kelancaran urusan kerajaan, khususnya menjelang persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan pembentangan Belanjawan Negeri Sembilan 2027.

Menurutnya, kemelut itu sepatutnya diselesaikan mengikut lunas perlembagaan seperti dititahkan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, namun pertikaian politik masih berlarutan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Negeri Sembilan tidak seharusnya terus menjadi mangsa percaturan politik pihak yang diberikan mandat untuk mentadbir.

“Rakyat memberikan mandat untuk bekerja dan menyelesaikan masalah mereka, bukannya untuk menyaksikan pertelingkahan politik yang tidak berkesudahan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

PH Negeri Swmbilan turut mempersoalkan hasil mesyuarat membabitkan 24 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN-PN yang sepatutnya membuka jalan kepada penyelesaian kemelut berkenaan.

Katanya, mesyuarat itu memperlihatkan arahan serta ketetapan kepimpinan parti masih menjadi sandaran utama dalam menentukan pendirian wakil rakyat berkenaan.

“PH Negeri Sembilan mempersoalkan mengapa penyelesaian berlandaskan perlembagaan dan penghormatan terhadap kedudukan Tuanku Muhriz tidak diberikan penekanan yang sama jelas.

“Apakah kepentingan dan keputusan pucuk pimpinan parti hendak diletakkan mengatasi tanggungjawab wakil rakyat untuk menghormati institusi Yang di-Pertuan Besar serta Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan?” katanya.

Selain itu, PH Negeri Sembilan turut mendakwa wujud percanggahan antara kenyataan kepimpinan tertinggi BN dengan perkembangan politik di peringkat negeri berhubung penyelesaian kemelut itu.

“Presiden UMNO (Datuk Ser Dr. Ahmad Zahid Hamidi) sendiri telah menyatakan bahawa penyelesaian kemelut Negeri Sembilan perlu diserahkan kepada kebijaksanaan Tuanku
Muhriz. Namun, pertelingkahan berhubung kedudukan Menteri Besar masih berterusan.

“Keadaan ini menimbulkan persoalan besar mengenai kesungguhan BN-PN untuk menoktahkan kemelut tersebut.

“Kesetiaan kepada institusi diraja tidak memadai dengan kenyataan terbuka semata-mata, sebaliknya mesti diterjemahkan melalui tindakan yang selaras dengan titah, perkenan dan peruntukan perlembagaan,” katanya.

Parti itu turut menempelak kepimpinan BN-PN yang didakwa masih mengutamakan percaturan kuasa ketika kepentingan rakyat memerlukan perhatian segera.

Jelasnya, ketidaktentuan politik itu turut membimbangkan menjelang pembentangan Belanjawan Negeri Sembilan 2027 yang melibatkan peruntukan pembangunan, kebajikan rakyat, kemudahan awam dan kelangsungan ekonomi negeri.

PH Negeri Sembilan dalam pada itu berkata, rakyat negeri itu dilihat semakin bosan dengan pertelingkahan, percanggahan kenyataan dan sandiwara politik yang tidak berkesudahan, sekaligus menjadi penilaian rakyat terhadap keupayaan parti kerajaan dalam memikul amanah pemerintahan.

“Tiada mana-mana parti politik boleh menganggap mandat rakyat sebagai lesen untuk mengetepikan tanggungjawab terhadap negeri dan institusinya.

“Negeri Sembilan bukan milik mana-mana parti politik. Kedaulatan institusi Yang di-Pertuan Besar wajib dihormati, keluhuran Undang-Undang Tubuh wajib dipertahankan dan kepentingan rakyat mesti sentiasa diutamakan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini