SEREMBAN: Tiga pemimpin tertinggi Barisan Nasional (BN) dijangka menghadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir di Istana Hinggap di sini, Khamis ini.
Tiga pemimpin berkenaan ialah Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Timbalan Pengerusi BN yang juga Pengerusi BN Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan; dan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Menurut sumber, pertemuan bertujuan mempersembahkan keputusan parti yang dicapai dalam mesyuarat khas di Wisma UMNO Negeri Sembilan pada malam Jumaat lalu.
“Tujuan menghadap itu adalah mengemukakan keputusan parti yang dicapai dalam mesyuarat khas di Wisma UMNO Negeri Sembilan pada malam Jumaat lalu.
“Setakat dimaklumkan, Tuanku Muhriz berkenan menerima mereka menghadap pada tarikh itu,” katanya di sini, hari ini.
Pada masa sama, sumber mendedahkan semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN turut diarah mengunci mulut.
Difahamkan, mereka dilarang mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung kemelut yang berlaku bagi mengelak keadaan menjadi lebih keruh.
UMNO sedang berusaha menyelesaikan krisis itu, termasuk membabitkan kedudukan Menteri Besar.
Pada 21 November lalu, seramai 24 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mewakili BN dan Perikatan Nasional (PN) dilapor mencapai kata sepakat untuk akur dan patuh atas apa juga arahan pucuk pimpinan dan ketetapan parti dan pucuk pimpinan.
Mohamad dilaporkan berkata, kata sepakat itu dicapai hasil perjumpaan khas yang diadakan di Wisma UMNO Negeri Sembilan pada malam Jumaat lalu.
Ia susulan pendedahan Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim, yang memaklumkan tidak pernah memberi persetujuan supaya surat peletakan jawatannya bertarikh 16 November lalu diserahkan kepada Tuanku Muhriz.
ADUN Juasseh itu mendakwa hanya mengetahui mengenai peletakan jawatan yang diumumkan pimpinan BN menerusi laporan media.
Sejak sidang media berkenaan, Ismail tidak lagi mengeluarkan sebarang kenyataan, termasuk memberikan respons terhadap kenyataan Istana Negeri Sembilan yang memintanya membuktikan mendapat sokongan majoriti ADUN.
Ahad lalu, Setiausaha Akhbar Menteri Besar, Mohd Fasha Musthafa, memaklumkan Ismail mendapatkan rawatan di sebuah hospital di sini, namun keadaannya semakin pulih.
Setakat pukul 3 petang ini, media masih menunggu maklum balas terkini berkenaan keadaan Ismail termasuk sama ada beliau dibenarkan pulang atau sebaliknya.











