China lancar misi angkasawan asing pertama

China lancar misi angkasawan asing pertama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEIJING: Angkasawan asing pertama yang menyertai misi angkasa China teruja membawa bersama harapan 250 juta rakyat Pakistan menjelang pelancaran misi kru terbaharu negara itu pada Rabu.

Beijing membelanjakan berbilion dolar untuk program angkasa lepasnya, termasuk membangunkan stesen angkasa Tiangong yang dikendalikan oleh tiga angkasawan dalam setiap misi, dengan pertukaran kru lazimnya dilakukan setiap enam bulan.

Misi Shenzhou-24 dijadualkan berlepas pada pukul 8.18 pagi Rabu (waktu tempatan) dari pusat pelancaran Jiuquan di Gurun Gobi, barat laut China, menurut jurucakap Agensi Angkasa Lepas Berawak China (CMSA), Zhang Jingbo, pada sidang media pada Selasa.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pakar muatan dari Pakistan, Muhammad Zeeshan Ali bakal menjadi angkasawan asing pertama yang menaiki stesen angkasa Tiangong milik China.

“Saya membawa nama Pakistan di bahu saya, serta harapan 250 juta rakyat Pakistan.

“Kepada setiap kanak-kanak yang menyaksikan saya ketika berada di orbit, pandanglah ke langit dan ingat bahawa saya berada di sana bersama impian anda,” katanya dalam bahasa Inggeris selepas menyampaikan beberapa kenyataan dalam bahasa Mandarin dan Urdu dengan fasih.

Muhammad Zeeshan akan menyertai penerbangan orbit singkat yang dijangka berlangsung kira-kira lima hari sebelum kembali ke bumi menggunakan kapal angkasa Shenzhou-23 yang berlabuh di Tiangong pada Mei lalu.

Beliau bukan rakyat Pakistan pertama ke angkasa lepas apabila peneroka kutub yang berpangkalan di Monaco, Namira Salim, pernah menyertai misi Galactic 04 kendalian Virgin Galactic pada Oktober 2023.

Saingi AS

China meningkatkan pelaburan dalam program angkasa lepasnya sejak beberapa tahun kebelakangan ini bagi mengejar kemajuan negara pesaing utamanya, Amerika Syarikat (AS).

Pakistan yang mempunyai hubungan diplomatik dan perdagangan rapat dengan Beijing dilihat sebagai rakan kerjasama semula jadi dalam usaha berkenaan.

Kru yang kini berada di stesen angkasa Tiangong diketuai Zhu Yangzhu, 40, bersama Lai Ka-ying dan Zhang Zhiyuan, yang juga berusia 40 tahun.

Ka-ying merupakan angkasawan pertama Hong Kong dan satu-satunya wanita yang kini berada di stesen angkasa berkenaan.

Selepas kru baharu yang kesemuanya lelaki tiba di Tiangong, Muhammad Zeeshan akan kembali ke bumi bersama Ka-ying dan Zhiyuan.

Yangzhu pula akan kekal di stesen berkenaan bagi melengkapkan misi setahun penuh pertama China di angkasa lepas, sekali gus menjadi ujian ketahanan penting bagi cita-cita negara itu meneroka bulan dan kemungkinan ruang angkasa lebih jauh pada masa depan.

Yangzhu akan ditemani Tang Hongbo, 51, seorang angkasawan berpengalaman, serta Wu Yi yang berusia lewat 30-an dan bakal melakukan penerbangan angkasa lepas pertamanya bagi pusingan misi Tiangong selama enam bulan akan datang.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini