Kes saman Rosmah: Harith Iskander diarah hadir 4 Disember ini - Utusan Malaysia

Kes saman Rosmah: Harith Iskander diarah hadir 4 Disember ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pendengaran bagi permohonan peguam untuk menarik diri daripada mewakili pelawak dan pelakon, Harith Iskander, dalam kes saman fitnah melibatkan Datin Seri Rosmah Mansor ditangguhkan ke 4 Disember ini.

Tarikh itu ditetapkan oleh Hakim Mahkamah Tinggi, Arziah Mohamed Apandi selepas pelawak dan pelakon itu selaku defendan tidak hadir pada prosiding hari ini selain gagal dihubungi oleh pihak peguam.

“Jadi sehingga defendan hadir, saya tidak boleh membenarkan Kandungan 15 (permohonan menarik diri).

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya berikan satu tarikh akhir, buatlah segala usaha yang munasabah dan mahkamah boleh buat perintah yang sebaiknya untuk Kandungan 15,” katanya.

Mahkamah kemudian mengarahkan pihak peguam memastikan defendan hadir secara fizikal pada tarikh tersebut atau sekurang-kurangnya mengemukakan maklum balas yang munasabah.

Terdahulu, peguam, Sangeet Kaur Deo memaklumkan, pelbagai usaha serahan notis telah dilakukan melalui emel, aplikasi WhatsApp serta serahan kendiri di kediamannya.

Bagaimanapun, serahan pertama di rumah defendan hanya diterima oleh pembantu rumahnya (helper) memandangkan pelawak terbabit tiada di kediaman ketika itu.

“Kami telah hantar surat lagi untuk buat temu janji pada satu tarikh yang ditetapkan dan helper telah ambil surat itu.

“Tapi bila kami kembali untuk serahkan pada tarikh yang berkenaan, kedua-dua (helper dan Harith Iskander) tiada. Kami tidak dibenarkan masuk ke dalam kawasan perumahan itu,” katanya.

Pada prosiding itu, Sangeet hadir bersama Harkiranjit Kaur Manjit Singh, manakala Rosmah sebagai plaintif diwakili peguam, Nur-Diana Ezlyn Hashim.

Dalam pada itu, Sangeet ketika ditemui berkata, pihaknya berharap Harith Iskander dapat memberikan maklum balas selepas beberapa kali gagal mendapatkan sebarang arahan.

“Kami telah membuat banyak cubaan, namun, masih belum dapat memperoleh sebarang arahan. Jadi, saya berharap dapat menerima maklum balas daripadanya,” katanya.

Pada 9 Jun lalu, Rosmah, 74, memfailkan saman terhadap Harith atau nama sebenarnya Harith Iskander Musa, 60, susulan dakwaan menjadi mangsa penghinaan fizikal ketika persembahan komedi berdiri bertajuk Harith Iskander: The Outspoken Comedy Tour, 17 Januari lalu.

Rosmah mendakwa defendan memaparkan imej berkaitan makhluk mitologi seram sebelum memaparkan imej beliau, selain mengeluarkan kenyataan berbaur ejekan mengenai melihat cermin pandang belakang ketika memandu di jalan gelap.

Beliau turut mendakwa rakaman persembahan yang dimuat naik oleh seorang pengguna TikTok sehingga meraih ratusan ribu tontonan, sekali gus menjatuhkan reputasi dan maruahnya sebagai figura awam serta penaung badan amal.

Bagaimanapun, pada 9 Julai lalu Harith dalam pernyataan pembelaannya menafikan paparan itu membawa maksud fitnah seperti didakwa plaintif.

Katanya, klip video di TikTok itu juga dibuat tanpa pengetahuan atau persetujuannya serta di luar konteks penuh persembahan komedi berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini