PETALING JAYA: Petroliam Nasional Berhad (Petronas) memperkukuh kedudukannya sebagai pembekal gas asli cecair (LNG) global menerusi pembangunan kemudahan LNG terapung berhampiran pantai (FLNG) pertama di dunia, PFLNG TIGA.
Ketika ini, PFLNG TIGA masih dalam pembinaan dijadualkan beroperasi di Sipitang, Sabah, pada suku ketiga 2027 dengan kapasiti pengeluaran sebanyak dua juta tan setahun (MTPA).
Petronas berkata, pembangunan kemudahan berkenaan merupakan satu pencapaian penting dalam inovasi industri LNG global, selain memperluas keupayaan syarikat menghasilkan LNG dalam persekitaran operasi berbeza.
“Menerusi PFLNG TIGA, Petronas kini mempunyai keupayaan membangunkan kemudahan LNG terapung bagi operasi di kawasan perairan cetek, laut dalam dan berhampiran pantai.
“Kemudahan terbaharu itu juga akan melengkapkan portfolio LNG bersepadu Petronas, sekali gus meningkatkan keupayaan syarikat meneroka dan mengkomersialkan sumber gas asli baharu,” katanya dalam kenyataan.
Kemudahan itu secara rasmi dinamakan dalam satu majlis di limbungan kapal Samsung Heavy Industries di Pulau Geoje, Korea Selatan, semalam.
Sementara itu, Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Perniagaan Gas dan Maritim Petronas, Datuk Adif Zulkifli berkata, penamaan PFLNG TIGA merupakan pencapaian penting dalam usaha syarikat memperkukuh kedudukannya sebagai pembekal LNG global yang boleh dipercayai.
Katanya, penggunaan teknologi LNG terapung yang inovatif membolehkan Petronas meningkatkan keupayaan mengkomersialkan sumber gas, selain menyediakan fleksibiliti dan daya tahan lebih tinggi dalam portfolio bekalannya.
“Ketika permintaan terhadap tenaga yang selamat dan boleh dipercayai terus meningkat, PFLNG TIGA memperkukuh komitmen kami untuk membekalkan LNG kepada isi rumah, perniagaan dan industri di seluruh dunia,” katanya.
PFLNG TIGA berukuran 281 meter panjang, 64 meter lebar dan 32 meter dalam, mencerminkan pelaburan berterusan Petronas dalam kejuruteraan canggih serta pembangunan penyelesaian LNG yang memenuhi keperluan operasi tertentu.
Pengoperasian kemudahan itu dijangka memperkukuh rantaian nilai LNG Malaysia, selain meningkatkan keupayaan negara mengkomersialkan sumber gas asli dan memenuhi permintaan tenaga serantau.
Selain itu, LNG terus memainkan peranan penting dalam menyokong keselamatan tenaga global serta peralihan tenaga yang pragmatik.
Dengan pengalaman lebih empat dekad dalam industri LNG, Petronas membekalkan produk berkenaan kepada pelanggan di pasaran utama menerusi portfolio LNG bersepadu antara yang terbesar di dunia.
Penambahan PFLNG TIGA dijangka memperkukuh keupayaan syarikat menawarkan bekalan LNG yang lebih fleksibel, berdaya saing dan boleh dipercayai, sejajar dengan perkembangan permintaan tenaga global.-UTUSAN











