KUALA LUMPUR: Kumpulan nasyid kontemporari, Rabbani bakal mengimbau nostalgia empat dekad perjalanan seni Nada Murni menerusi penganjuran Gala Dinner Eksklusif Bersama Rabbani pada 29 November ini.
Ketua kumpulan itu, Azadan Abdul Aziz berkata, acara istimewa berkenaan bukan sekadar mengimbau kegemilangan Nada Murni yang pernah menjadi wadah perjuangan penggiat nasyid, malah turut menjadi platform menghargai sokongan pelbagai pihak dalam memastikan genre itu terus relevan.
Menurutnya, usaha menghidangkan seleksi lagu malar segar daripada era Nada Murni tidak mungkin dapat direalisasikan tanpa sokongan rakan kolaborasi, khususnya Emas Sri Semantan yang tampil sebagai penaja utama.
“Rabbani sangat berbesar hati apabila dapat merealisasikan persembahan istimewa ini menerusi kerjasama Rabbani Empire Resources dengan Emas Sri Semantan.
“Sokongan penaja utama menjadi antara tunjang penting dalam memastikan kelangsungan seni nasyid tanah air, selain membuktikan kepercayaan jenama besar terhadap kemampuan genre ini untuk terus berkembang dalam arus muzik perdana,” katanya.
Gala Dinner Eksklusif Bersama Rabbani dijadualkan berlangsung di Rabbani Event Hall, Scott Garden, Jalan Klang Lama, pada pukul 8.30 malam.
Azadan berkata, kerjasama berkenaan bukan sekadar menyokong penganjuran acara hiburan, sebaliknya mencerminkan peranan penting sektor korporat dalam mengangkat karya, bakat serta legasi penggiat seni nasyid tempatan.
Katanya, sokongan penaja turut membuka ruang kepada karya yang mempunyai nilai sejarah untuk terus diraikan, sekali gus memastikan warisan muzik nasyid tidak terpinggir dalam perkembangan industri hiburan semasa.
“Gala Dinner Eksklusif Bersama Rabbani dirancang sebagai malam penghargaan yang menggabungkan elemen hiburan, nostalgia dan pengiktirafan terhadap perjalanan seni nasyid selama empat dekad.
“Antara tarikan utama ialah persembahan lebih 15 lagu pilihan daripada album Nada Murni yang pernah mencipta kenangan tersendiri dalam kehidupan peminat,” katanya.
Menurut Azadan, lagu-lagu berkenaan bukan sahaja mempunyai nilai sentimental, malah menjadi sebahagian daripada perjalanan muzik yang menghubungkan peminat dengan kenangan bersama keluarga dan sahabat.
Menerusi persembahan itu, peminat berpeluang mengimbau kembali dendangan yang pernah mewarnai industri nasyid, selain memperkenalkan warisan muzik Nada Murni kepada generasi lebih muda.
“Empat dekad bukan tempoh yang singkat. Perjalanan Nada Murni membuktikan bahawa karya yang mempunyai nilai dan mesej tersendiri mampu kekal dekat di hati pendengar meskipun zaman terus berubah,” ujarnya.
Dalam masa sama, Azadan menyifatkan sokongan Emas Sri Semantan sebagai penaja utama membawa makna besar terhadap usaha memperkukuh ekosistem seni nasyid tempatan.
Katanya, kesinambungan sesebuah industri seni bukan hanya bergantung kepada penggiatnya, malah memerlukan sokongan pihak lain yang percaya terhadap nilai serta potensi karya tempatan.
Penganjuran itu diharapkan dapat menyemarakkan semula minat terhadap muzik nasyid, selain membuka ruang kepada generasi baharu mengenali perjalanan dan sumbangan tokoh yang membina industri berkenaan.
Orang ramai dijemput memeriahkan malam istimewa bersama Rabbani bagi meraikan empat dekad perjalanan seni Nada Murni.











