PETALING JAYA: Malaysia berdepan risiko kenaikan harga makanan pada 2027 susulan fenomena El Nino yang semakin kuat, dengan tekanan inflasi dijangka lebih ketara pada separuh kedua tahun depan.
Firma penyelidikan BMI, di bawah Fitch Solutions berkata, fenomena El Nino 2026/2027 yang bermula Jun lalu berpotensi menjejaskan pengeluaran beberapa komoditi pertanian utama di Asia Tenggara, termasuk beras, minyak sawit, gula dan kopi.
Menurut BMI, berdasarkan pengalaman beberapa negara ekonomi sedang pesat membangun, inflasi makanan secara purata meningkat sekitar satu mata peratusan selepas tiga bulan berlakunya kemarau ekstrem.
Katanya, kadar itu dijangka meningkat antara 1.8 hingga 2.5 mata peratusan selepas tempoh sembilan hingga 12 bulan.
“Sehubungan itu, dengan keadaan kemarau dijangka memuncak pada awal 2027, tekanan terhadap harga makanan dijangka semakin dirasai pada separuh kedua tahun berkenaan.
“Keadaan itu bukan sahaja berpotensi menjejaskan kuasa beli isi rumah, malah boleh merumitkan pelaksanaan dasar monetari negara,” katanya dalam nota penyelidikan.
BMI berkata, kedudukan stok makanan yang lebih rendah di beberapa negara Asia Tenggara turut meningkatkan risiko gangguan bekalan, khususnya bagi komoditi beras, minyak sawit dan kopi.
“Stok beras di Thailand, Vietnam dan Filipina kini berada di bawah paras 2023, manakala stok minyak sawit Indonesia dan kopi robusta Vietnam masing-masing hanya bersamaan sembilan peratus dan dua peratus daripada jumlah penggunaan.
“Bagaimanapun, kedudukan stok minyak sawit Malaysia secara relatifnya lebih baik berbanding Indonesia, iaitu bersamaan 13 peratus daripada jumlah penggunaan domestik dan eksport.
“Paras itu juga lebih tinggi berbanding kedudukan sebelum fenomena El Nino 2023/2024, sekali gus memberikan sedikit penampan kepada bekalan komoditi berkenaan,” katanya.
Dalam pada itu, firma penyelidikan itu berkata, risiko kenaikan mendadak harga beras seperti yang berlaku pada 2023/2024 dijangka dapat dikurangkan berikutan kedudukan bekalan global yang lebih kukuh, khususnya di India.
“India kini menyumbang 39 peratus daripada eksport beras dunia dan mempunyai stok pada paras tertinggi, bersamaan 47 peratus daripada penggunaan domestiknya berbanding 30 peratus sebelum El Nino 2023/2024.
“Kedudukan itu sekali gus mengurangkan kemungkinan India mengenakan sekatan eksport yang ketat, yang boleh memberi kesan kepada bekalan beras global.
“Selain sektor makanan, BMI menjangkakan fenomena El Nino turut meningkatkan kos penjanaan elektrik di negara yang bergantung kepada tenaga hidro,” katanya.
Dalam pada itu, pengurangan bekalan air akibat kemarau berpotensi memaksa syarikat utiliti beralih kepada sumber tenaga alternatif yang lebih mahal, sekali gus meningkatkan kos bekalan elektrik.
“Colombia, Zambia dan Honduras dikenal pasti antara negara yang paling terdedah kepada tekanan berganda akibat kenaikan harga makanan dan elektrik, dengan kesannya berpotensi berlanjutan sehingga 2028.
“Bagaimanapun, bagi Malaysia, BMI berpandangan risiko inflasi akibat El Nino lebih tertumpu kepada kenaikan harga makanan berbanding kos elektrik.
“Justeru, perkembangan bekalan komoditi pertanian utama serta keadaan pengeluaran di rantau Asia Tenggara menjadi antara faktor penting yang perlu dipantau bagi menilai tekanan kos sara hidup menjelang 2027,” katanya.-UTUSAN











