PETALING JAYA: Malaysia menyasarkan pelaburan antara RM160 bilion hingga RM170 bilion dalam industri pemerangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS) menjelang 2050 menerusi pembangunan tiga hingga enam hab CCUS.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, industri berkenaan juga diunjur menjana nilai ditambah kasar (GVA) terkumpul antara $200 bilion hingga $250 bilion serta mewujudkan antara 150,000 hingga 250,000 peluang pekerjaan langsung dan tidak langsung apabila operasi mencapai tahap puncak.
Beliau berkata, sebanyak 27 inisiatif digariskan menerusi Pelan Hala Tuju CCUS Malaysia 2050 bagi merealisasikan aspirasi negara untuk muncul sebagai peneraju industri berkenaan di rantau ini, sekali gus memacu pertumbuhan ekonomi hijau.
“Unjuran ini mencerminkan skala peluang yang ada. Merealisasikan potensi itu memerlukan pelaburan berterusan, kepastian kawal selia, penyertaan kukuh syarikat Malaysia dan pelaksanaan yang diselaraskan.
“Antara pencapaian awal yang disasarkan adalah suntikan karbon dioksida (CO2) pertama Malaysia seawal 2030,” katanya pada majlis pelancaran Pelan Hala Tuju CCUS Malaysia 2050 pada Sidang Kemuncak Dekarbonisasi CCUS dan Hidrogen Asia Pasifik 2026, di sini, semalam.
Akmal Nasrullah berkata, pelan hala tuju itu menggariskan empat teras strategik, termasuk pembangunan hab CCUS menerusi pendekatan berasaskan kluster, bermula di Pantai Timur Semenanjung Malaysia.
Beliau berkata, perkongsian infrastruktur pengangkutan dan penyimpanan karbon berpotensi meningkatkan ekonomi skala serta mengurangkan kos.
Katanya, tiga teras lain adalah menawarkan perkhidmatan pemerangkapan dan penyimpanan karbon (CCS) sebagai penyelesaian penyahkarbonan serantau, memacu pembangunan teknologi CCUS untuk kegunaan industri serta merancakkan pembangunan ekonomi Pantai Timur.
“Pelan hala tuju itu mengenal pasti potensi sumber penyimpanan lebih 150 bilion tan CO2 di medan minyak dan gas yang sudah susut serta akuifer masin di Malaysia,” katanya.
Bagaimanapun, Akmal Nasrullah berkata, usaha menterjemahkan potensi berkenaan kepada perkhidmatan penyimpanan yang boleh dipercayai bergantung kepada penilaian tapak yang teliti, piawaian keselamatan tinggi dan pengurusan jangka panjang.
Beliau berkata, empat projek utama dikenal pasti sebagai langkah awal pelaksanaan pelan hala tuju itu, termasuk Projek Pemerangkapan Karbon Nasional yang diterajui Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) bagi mendemonstrasikan pemerangkapan karbon di sebuah kemudahan besi dan keluli di Pantai Timur.
Turut dirancang adalah Projek CCS Luar Pesisir Pantai Timur atau Hab CCS Selatan yang diterajui PETRONAS bersama Mitsui dan TotalEnergies, membabitkan terminal penerimaan di Kuantan, saluran paip luar pesisir sepanjang 245 kilometer serta penyimpanan di medan Duyong dengan kapasiti dirancang lima juta tan setahun.
Selain itu, Tenaga Nasional Bhd (TNB) menerusi Project Dragon dan Project Chlorobloom sedang meneroka potensi menukarkan CO2 yang diperangkap kepada bahan api sintetik dan produk berasaskan alga.
Akmal Nasrullah berkata, Malaysia turut berhasrat menjadi destinasi penyimpanan karbon rentas sempadan yang dipercayai bagi ASEAN dan rantau Asia Pasifik dengan mengambil inspirasi daripada projek Northern Lights di Norway.
“Kita mahu syarikat Malaysia menjadi pembekal, berinovasi dan berkembang bersama industri ini. Pemindahan teknologi, penyelesaian teknologi tempatan dan tenaga kerja berkemahiran mesti menjadi sebahagian daripada cadangan pelaburan,” katanya.-UTUSAN











