KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) diarah untuk menyiasat dakwaan kebocoran dokumen minit mesyuarat Lembaga Pengampunan membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, Ketua Polis Negara perlu menggerakkan semua sumber dan keupayaan yang ada bagi mengesan pihak yang terbabit sekiranya berlaku kebocoran dokumen berkenaan.
Katanya, dokumen itu sebelum ini diklasifikasi di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972 (OSA).
“Bagaimanapun ia (dokumen) sudah dinyahklasifikasikan yang kini menjadi dokumen awam.
“Jika disebut ada elemen kebocoran, saya fikir Ketua Polis Negara (Tan Sri Mohd. Khalid Ismail) kena gerakkan semua sumber yang ada untuk mengesannya.
“Apa pun, saya serahkan kepada Ketua Polis Negara, beliau kena selesaikan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat berhubung keperluan menjalankan siasatan terhadap dakwaan penyebaran dokumen berkenaan.
Terdahulu, Anwar menafikan dakwaan kerajaan menyebarkan minit mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan yang diklasifikasikan sebagai dokumen rahsia kepada umum.
Perdana Menteri turut menafikan dokumen berkaitan pengampunan bersyarat Datuk Seri Najib Razak itu diedarkan Bahagian Hal Ehwal Undang-undang Jabatan Perdana Menteri (BHEUU, JPM) atau Jabatan Peguam Negara (AGC).
Sebaliknya, beliau berkata, AGC hanya menyahklasifikasikan sebahagian dokumen berkaitan bekas Perdana Menteri itu sebagai persediaan menghadapi prosiding di mahkamah.
“Jadi siapa itu (suspek menyebarkan dokumen terbabit) patut disiasat, jangan buat tohmahan mengatakan: ‘Oh kerajaan edarkan.’
“Tidak ada. Tidak benar kerana yang berlaku adalah keputusan Peguam Negara untuk mempersiapkan kes jawapan di mahkamah. Itu saja,” kata Anwar
Perdana Menteri turut menggesa supaya siasatan mengambil kira kemungkinan dokumen berkenaan didedahkan dan diedarkan lebih awal, sebelum proses penyahklasifikasian dilakukan.
Katanya, sebahagian dokumen yang diklasifikasikan sebagai rahsia perlu kekal sulit dan tidak didedahkan kepada umum. – UTUSAN











