Suffian dilantik Ketua Trafik Kuala Lumpur - Utusan Malaysia

Suffian dilantik Ketua Trafik Kuala Lumpur

SAC Mohd Zamzuri Mohd Isa (kiri) menyerahkan dokumen serah tugas Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur kepada ACP Suffian Abdullah sambil disaksikan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus ketika majlis pemakaian pangkat dan serah terima tugas di Dataran Balai Polis JSPT Jalan Tun H. S. Lee. Foto : Saddam Yusoff
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kepemimpinan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur kini diterajui Asisten Komisioner Suffian Abdullah dengan pelantikannya berkuat kuasa hari ini.

Suffian yang sebelum ini Timbalan Ketua JSPT Kuala Lumpur mengambil alih jawatan itu daripada Senior Asisten Komisioner Mohd. Zamzuri Mohd. Isa yang dilantik sebagai Ketua Penolong Pengarah (Kepolisan Am) Bahagian Kepolisan Am Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam.

Jawatan Timbalan Ketua JSPT Kuala Lumpur pula disandang oleh Superintenden Muhammad Ashraf Shukor.

Memuatkan artikel berkaitan…

Majlis serah terima tugas itu berlangsung di Dataran Balai Polis JSPT, Jalan Tun H. S. Lee di sini hari ini dengan disaksikan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus.

Fadil menzahirkan keyakinan terhadap pengalaman, pengetahuan serta kepemimpinan Suffian dalam meneruskan kecemerlangan jabatan berkenaan.

“Saya percaya dengan pengalaman, pengetahuan dan kepimpinan yang dimiliki, beliau mampu meneruskan kesinambungan kecemerlangan jabatan ini serta membawa pembaharuan yang bersesuaian dengan keperluan dan cabaran semasa.

“Saya juga berharap agar seluruh warga JSPT Kuala Lumpur memberikan sokongan, kerjasama dan komitmen sepenuhnya kepada kepimpinan baharu demi memastikan segala perancangan serta agenda jabatan dapat dilaksanakan dengan jayanya,” katanya ketika berucap.

Fadil berkata, tanggungjawab menerajui jabatan yang berperanan menguruskan pergerakan trafik di sebuah kota metropolitan bukanlah satu tugas mudah.

Katanya, pertambahan jumlah kenderaan, kesesakan, kadar kemalangan dan pelbagai bentuk pelanggaran undang-undang jalan raya merupakan antara cabaran yang perlu ditangani secara berterusan.

Ujarnya, JSPT Kuala Lumpur perlu sentiasa menyesuaikan pendekatan serta memperkukuh keupayaan penguatkuasaan agar lebih berkesan, strategik dan responsif terhadap keperluan semasa.

Fadil turut merakamkan penghargaan kepada Mohd. Zamzuri atas segala sumbangan, komitmen dan khidmat bakti sepanjang menerajui jabatan.

“Segala usaha dan kepemimpinan yang dicurahkan khususnya dalam memastikan kelancaran pengurusan trafik, meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan serta menangani pelbagai isu keselamatan jalan raya di ibu negara amat dihargai,” katanya.

Pada majlis sama, seramai 32 pegawai polis turut diraikan menerusi upacara pemakaian pangkat sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian, dedikasi dan potensi kepemimpinan mereka. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini