IPOH: Peruntukan kepada Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) ditambah kepada RM133.8 juta untuk tahun hadapan menerusi Belanjawan Perak 2027.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, jumlah itu merupakan tambahan peruntukan sebanyak RM3 juta yang diterima oleh institusi agama negeri bagi memperkukuh syiar Islam dan institusi keagamaan di negeri ini.
Katanya, daripada jumlah itu, sebanyak RM126.8 juta disediakan bagi perbelanjaan mengurus termasuk operasi jabatan, pengurusan masjid, Institut Tadbiran Islam Perak serta Sekolah Menengah Tahfiz Darul Ridzuan dan Sekolah Menengah Agama Negeri.
“Baki RM7 juta pula diperuntukkan bagi tujuan pembangunan termasuk penyelenggaraan enam masjid utama negeri, menaik taraf sekolah agama dan tahfiz serta pejabat agama daerah.
“Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM18.2 juta diperuntukkan bagi pembayaran elaun dan caruman KWSP kepada 3,310 orang guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA),” katanya ketika membentangkan Belanjawan Negeri Perak 2027 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, di sini hari ini.
Menurut Saarani, peruntukan kepada Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Perak turut meningkat RM900,000 kepada RM19.8 juta berbanding RM18.9 juta pada tahun ini.
Katanya, daripada jumlah itu, RM18.4 juta diperuntukkan bagi perbelanjaan mengurus manakala RM1.4 juta untuk pembangunan.
“Selain itu, Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri Perak menerima peruntukan RM2.7 juta manakala Jabatan Mufti Negeri Perak diperuntukkan RM5.3 juta,” katanya.
Tambah Saarani, kerajaan negeri turut menambah RM3 juta bagi kerja baik pulih dan pembinaan baharu masjid serta surau, menjadikan keseluruhan peruntukan meningkat kepada RM18 juta pada tahun hadapan.
“Peruntukan bagi menaik taraf institusi pendidikan Islam juga ditingkatkan sebanyak RM2 juta kepada RM7 juta,” ujar beliau.
Sementara itu beliau berkata, ikhtiar menyuburkan syiar Islam dan memperkukuh
kesejahteraan ummah turut mendapat dukungan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) yang menyediakan peruntukan keseluruhan kira-kira RM254.3 juta bagi tahun 2027.
“Jumlah itu merangkumi RM247 juta bagi memperkasa ekonomi asnaf dan memperluas pengagihan zakat serta RM7.3 juta untuk pembangunan wakaf,” katanya. – UTUSAN











