KUANTAN: Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) menjadi pencetus perubahan dalam pembangunan negeri-negeri di pantai timur sekali gus memacu pertumbuhan ekonomi dan kemakmuran rakyat.
Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, sehubungan itu kewujudan tujuh stesen ECRL di Pahang perlu dimanfaatkan sepenuhnya sebagai hab pembangunan ekonomi bagi merancakkan kegiatan ekonomi masyarakat setempat.
“Jangan sekadar hanya ada stesen tetapi tidak memacukan kegiatan ekonomi setempat, khususnya di semua daerah yang mempunyai stesen kereta api ini,” titah baginda ketika merasmikan Stesen ECRL KotaSAS di sini hari ini.
Turut berangkat, Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.
Yang turut hadir, Ketua Setiausaha Negara merangkap Pengerusi Malaysia Rail Link Sdn. Bhd. (MRL), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Pegawai Eksekutif MRL, Datuk Seri Darwis Abdul Razak.
Al-Sultan Abdullah bertitah, kemajuan pesat di pantai barat selama ini antara lain didorong oleh kewujudan rangkaian pengangkutan kereta api dan lebuh raya yang dibangunkan lebih awal berbanding pantai timur.
Oleh itu, baginda berharap pembangunan ECRL yang disokong rangkaian lebuh raya termasuk Lingkaran Tengah Utama (LTU) mampu mempercepatkan pertumbuhan ekonomi dan pembangunan negeri-negeri pantai timur.
Dalam pada itu, Al-Sultan Abdullah turut merakamkan penghargaan baginda kepada semua pemimpin terdahulu dan kerajaan semasa serta pihak yang terlibat dalam menjayakan projek berkenaan yang kini telah mencapai kemajuan pembinaan 99 peratus.
Menurut baginda, projek mega berkenaan telah melalui era pentadbiran lima orang Perdana Menteri dan pemerintahan tiga Yang di-Pertuan Agong, termasuk baginda sendiri.
Malah baginda juga mendedahkan pernah memainkan peranan dalam memastikan kesinambungan projek berkenaan susulan kajian semula pelaksanaannya selepas pertukaran kerajaan pada 2018.
“Saya juga telah memainkan peranan sekadar mana yang saya telah buat supaya projek ini diteruskan,” titah baginda.
Pada masa sama, baginda mengingatkan pihak pengurusan dan pengendali ECRL supaya sentiasa mengutamakan aspek keselamatan, penyelenggaraan serta kelancaran operasi bagi mengelakkan kejadian tidak diingini. – UTUSAN











