BANGKOK: Seorang lelaki gelandangan menolak tawaran bantuan kebajikan pihak berkuasa Bangkok selepas rumah pokok sementara yang dibinanya di tepi Jalan Srinakarin dirobohkan pada 21 November lalu.
Pengarah Daerah Suan Luang, Bancha Suepkraphan berkata, pihaknya menerima aduan penduduk mengenai struktur tidak biasa yang dibina lelaki itu di atas sebatang pokok di sepanjang jalan berkenaan.
Susulan aduan itu, pihak berkuasa mengarahkan rumah sementara berkenaan dirobohkan kerana dibina di atas tanah awam dan dikhuatiri mengancam keselamatan orang ramai.
Bancha berkata, lelaki itu turut ditawarkan bantuan kebajikan, selain diberikan penerangan mengenai hak serta pilihan sokongan sosial yang disediakan selaras dengan prinsip hak asasi manusia.
Bagaimanapun, lelaki berkenaan menolak bantuan yang ditawarkan.
Menurut Bancha, lelaki itu memberitahu pegawai rumah keluarganya terletak di daerah Bang Kapi, Bangkok, namun dia memilih untuk tinggal di jalanan susulan masalah keluarga.
Lelaki itu dilaporkan membina tempat perlindungan kira-kira enam meter dari aras laluan pejalan kaki menggunakan bahan terbuang seperti kepingan kayu, kain rentang vinil dan kanvas.
Dia berbuat demikian kerana bimbang kawasan berkenaan kembali dilanda banjir susulan kejadian bencana yang berlaku beberapa bulan lalu.
Penduduk sebelum ini menyuarakan kebimbangan struktur berkenaan boleh runtuh dan mencederakan pejalan kaki atau pengguna jalan raya yang melalui kawasan itu.
Pejabat daerah tidak mendedahkan sama ada lelaki berkenaan dikenakan denda atau tindakan undang-undang lain, namun pegawai memberi amaran supaya dia tidak membina struktur seumpama itu di atas tanah awam.- AGENSI








