Aksi tular Perodua Alza lari pemeriksaan polis, 3 ditahan, seorang masih diburu - Utusan Malaysia

Aksi tular Perodua Alza lari pemeriksaan polis, 3 ditahan, seorang masih diburu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Polis menahan tiga daripada empat lelaki yang cuba melarikan diri daripada pemeriksaan yang mana video kejadian itu tular di media sosial, hari ini.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Radin Ramlan Radin Taha berkata mereka ditahan terdiri seorang warga tempatan dan dua warga Filipina.

“Hasil saringan air kencing mendapati dua suspek positif methamphetamine. Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengesan suspek yang masih bebas dan mengenal pasti pembabitan mereka dalam kegiatan jenayah lain.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Siasatan awal mendapati suspek dipercayai mempunyai niat untuk mencuri kabel,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Terdahulu, video berdurasi tiga minit memaparkan aksi sebuah kenderaan melarikan diri daripada pemeriksaan polis dipercayai dirakam pelanggan restoran berhampiran tular di media sosial.

Mengulas lanjut, Radin Ramlan berkata, anggota unit kereta peronda (MPV) sedang menjalankan rondaan pencegahan jenayah jam 2.30 pagi tadi di Jalan Persiaran SILC, Gelang Patah sebelum mengesan sebuah Perodua Alza dinaiki empat lelaki dalam keadaan mencurigakan.

Ketika diarahkan berhenti, pemandu memecut dan melarikan diri sehingga memasuki Lebuhraya Link Kedua secara melawan arus.

“Pemandu kemudian meninggalkan kenderaan itu di Jalan Suria 2, Masai.

“Hasil operasi kemudian berjaya menahan tiga suspek, manakala seorang lagi masih diburu,” jelasnya.

Menurut beliau, pemeriksaan ke atas kenderaan menemukan satu alat pemotong kabel sebelum merampasnya bersama kenderaan dan tiga telefon bimbit.

Kes disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini