SEKOLAH Kebangsaan Chatin, Mentakab, Pahang mempunyai sejarah panjang sejak sebelum negara mencapai kemerdekaan dan sebelum pendudukan Jepun.
Generasi yang lahir pada 1930-an antara kelompok awal mendapat pendidikan di sekolah ini. Tradisi tersebut diteruskan oleh generasi berikutnya, termasuk saya yang pernah menuntut di sini dari 1963 hingga 1968 sebelum melanjutkan pelajaran ke sekolah menengah.
Pada penghujung 1980-an, sekolah ini ditutup selepas sebuah bangunan baharu didirikan kira-kira tujuh kilometer dari lokasi asal, berhampiran jalan pintasan dari bandar Mentakab menuju kawasan perindustrian.
Bangunan lama kemudiannya pernah digunakan sebagai Pusat Serenti Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK). Namun, selepas itu kawasan berkenaan dibiarkan tanpa penyelenggaraan sehingga dipenuhi semak samun, manakala struktur bangunannya semakin reput.
Tapak seluas kira-kira dua ekar atau lebih itu mempunyai kedudukan strategik kerana terletak tidak jauh dari jalan utama Mentakab–Temerloh dan tidak mudah ditenggelami banjir. Status pemilikan serta syarat kegunaan tanah perlu dikenal pasti terlebih dahulu bagi menentukan langkah pembangunan yang dibenarkan.
Beberapa cadangan boleh dipertimbangkan untuk menghidupkan semula kawasan tersebut.
Pertama, tapak berkenaan boleh dibangunkan sebagai premis atau pejabat agensi kerajaan yang bersesuaian dengan syarat tanah. Jika masih dimiliki Pesuruhjaya Tanah Persekutuan dan dikenakan cukai tahunan, lebih wajar kawasan itu dimanfaatkan daripada terus terbiar tanpa pulangan kepada kepentingan awam.
Kedua, sebuah galeri sejarah kecil boleh diwujudkan bagi merakam perjalanan Sekolah Kebangsaan Chatin. Catatan mengenai asal usul sekolah, perkembangan pendidikan dan bekas tokoh yang pernah menuntut di situ perlu dipelihara supaya warisan tersebut tidak lenyap ditelan masa.
Ketiga, bangunan sedia ada boleh dinilai untuk diubah suai menjadi kompleks sukan atau kemudahan serbaguna bagi kegunaan sekolah-sekolah di daerah Temerloh. Kemudahan itu juga boleh dimanfaatkan masyarakat setempat serta dijadikan pusat pemindahan sementara ketika banjir, tertakluk kepada kesesuaian dan tahap keselamatannya.
Selain itu, penyewaan atau pajakan bagi tempoh tertentu boleh dipertimbangkan selagi tidak bercanggah dengan peraturan tanah.
Pilihan lain ialah Pesuruhjaya Tanah Persekutuan berbincang dengan Kerajaan Negeri Pahang mengenai kaedah serah balik dan pemberimilikan semula tanah, termasuk kemungkinan pertukaran dengan tapak lain yang lebih sesuai. Kawasan asal seterusnya boleh dimanfaatkan untuk projek seperti perumahan mampu milik.
Apa pun keputusan yang diambil, bekas tapak sekolah ini tidak seharusnya terus dibiarkan terbiar. Pembangunan semula perlu memberi manfaat kepada masyarakat tanpa mengabaikan nilai sejarah yang terkandung di dalamnya. -UTUSAN
CICIT AKI BAJI
Mentakab, Pahang











