Kemiskinan bukan penghalang pendidikan

Kemiskinan bukan penghalang pendidikan

LATAR belakang ekonomi tidak sepatutnya menghalang peluang seseorang anak untuk mendapatkan pendidikan berkualiti dan mencapai kejayaan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENDIDIKAN merupakan asas penting dalam membentuk masyarakat berilmu, berdaya saing dan mampu menyumbang kepada pembangunan negara. Namun, peluang mendapatkan pendidikan berkualiti masih tidak dinikmati secara sama rata oleh semua lapisan masyarakat. 

Perbezaan kedudukan ekonomi keluarga, khususnya antara golongan B40, M40 dan T20, terus mempengaruhi kemudahan pembelajaran serta pencapaian akademik murid.

Antara faktor utama yang menyumbang kepada jurang ini ialah ketidaksamaan akses terhadap teknologi digital. Murid daripada keluarga berpendapatan tinggi lazimnya mempunyai komputer riba, tablet dan capaian internet yang stabil untuk menyokong pembelajaran. 

Memuatkan artikel berkaitan…

Sebaliknya, sebahagian pelajar B40 terpaksa berkongsi peranti dengan ahli keluarga atau hanya bergantung pada telefon pintar.

Kekurangan kemudahan tersebut menyukarkan mereka mengikuti pembelajaran dalam talian, menyiapkan tugasan dan mendapatkan bahan rujukan tambahan.

Selain kemudahan teknologi, kemampuan kewangan turut mempengaruhi peluang seseorang murid untuk mencapai kecemerlangan akademik. Keluarga berpendapatan tinggi mempunyai kelebihan mendapatkan kelas tuisyen, tutor peribadi serta bahan pembelajaran tambahan. 

Sebaliknya, ibu bapa daripada golongan berpendapatan rendah perlu mengutamakan perbelanjaan asas sehingga sukar menyediakan kemudahan pendidikan tambahan. Keadaan ini menyebabkan murid daripada keluarga kurang berkemampuan perlu berusaha lebih keras untuk memperoleh peluang pembelajaran yang setara.

Persekitaran rumah dan tahap pendidikan ibu bapa juga memainkan peranan dalam perkembangan akademik anak-anak. Kekurangan ruang belajar yang selesa, masa untuk mendapatkan bimbingan serta pendedahan terhadap pendidikan awal boleh menjejaskan persediaan mereka sebelum memasuki alam persekolahan. 

Cabaran ini berpotensi berlanjutan ke peringkat pengajian tinggi apabila kekangan kewangan mengehadkan pilihan institusi, bidang pengajian dan kemampuan menanggung kos sara hidup sepanjang tempoh pembelajaran.

Dari perspektif Islam, kepentingan menuntut ilmu jelas dinyatakan dalam Surah al-Mujadilah, ayat 11, yang bermaksud: “Allah akan meninggikan darjat orang-orang yang beriman antara kamu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat.” Rasulullah SAW turut bersabda: “Sesiapa yang menempuh suatu jalan untuk mencari ilmu, maka Allah akan memudahkan baginya jalan menuju ke syurga.” (Hadis Riwayat Muslim).

Kedua-dua dalil ini memperlihatkan kedudukan ilmu yang tinggi dalam Islam. Justeru, setiap individu sewajarnya diberikan ruang dan peluang untuk memperoleh pendidikan tanpa dibatasi latar belakang ekonomi.

Pendidikan bukan sekadar saluran mendapatkan pekerjaan, malah menjadi asas pembentukan sahsiah, pemikiran dan kehidupan yang lebih baik.

Bagi menangani ketidaksamaan ini, kerjasama kerajaan, institusi pendidikan, sektor swasta dan masyarakat perlu diperkukuh. Antara langkah yang boleh dilaksanakan termasuk memperluas bantuan peranti digital, menyediakan subsidi internet serta menambah kelas bimbingan percuma di kawasan yang memerlukan. 

Program tuisyen komuniti dan pusat pembelajaran setempat juga boleh dimanfaatkan bagi membantu murid yang tidak mempunyai kemudahan mencukupi di rumah.

Pada masa sama, bantuan kewangan dan biasiswa perlu disalurkan berdasarkan keperluan sebenar pelajar. Proses permohonan hendaklah dipermudah supaya keluarga yang layak tidak terhalang oleh urusan birokrasi. 

Institusi pendidikan juga perlu mengenal pasti murid yang berisiko tercicir melalui pemantauan berterusan dan menyediakan sokongan bersesuaian.

Usaha ini tidak seharusnya tertumpu kepada murid sekolah sahaja, sebaliknya perlu merangkumi peluang melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi, latihan kemahiran dan pendidikan sepanjang hayat. 

Pendekatan tersebut penting supaya golongan berpendapatan rendah turut mempunyai ruang untuk meningkatkan taraf kehidupan melalui ilmu dan kemahiran. –UTUSAN

AZIQAH YAZID
KUALA LUMPUR

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini