Kawal PATI untuk lindung kepentingan rakyat

Kawal PATI untuk lindung kepentingan rakyat

PENGUATKUASAAN Imigresen perlu diperkukuh, manakala industri mesti mengurangkan kebergantungan terhadap buruh asing demi kepentingan rakyat dan negara.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

REKOD penguatkuasaan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menunjukkan seramai 60,889 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini menerusi operasi di seluruh negara. 

Kebanyakan mereka melakukan kesalahan tinggal lebih masa, menyalahgunakan pas atau permit lawatan kerja sementara serta memasuki negara tanpa dokumen pengenalan diri yang sah. 

Dalam tempoh sama, lebih 1,720 majikan turut dikenakan tindakan undang-undang kerana menggajikan pekerja asing tanpa dokumen yang sah.

Memuatkan artikel berkaitan…

Indonesia, Bangladesh, Nepal, Myanmar dan India kekal antara negara sumber utama pekerja migran di Malaysia.

 Kehadiran mereka pada asalnya bertujuan memenuhi keperluan tenaga kerja dalam sektor kotor, bahaya dan sukar (3D) seperti perladangan, pembinaan, pembuatan serta perkhidmatan asas. Namun, kebergantungan berlebihan terhadap buruh asing bergaji rendah boleh memerangkap negara dalam situasi yang dikenali sebagai perangkap buruh murah.

Keadaan ini berlaku apabila majikan terlalu bergantung pada tenaga kerja fizikal berkos rendah sehingga kurang terdorong untuk melabur dalam automasi, pendigitalan dan peningkatan kemahiran pekerja. 

Syarikat, khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang menjalankan operasi intensif buruh, mungkin memilih untuk mengekalkan kaedah kerja sedia ada berbanding menggunakan jentera moden, kecerdasan buatan (AI) atau Internet Kebendaan (IoT).

Dalam jangka panjang, pendekatan sedemikian boleh membantutkan pertumbuhan produktiviti dan peralihan ekonomi negara ke arah industri bernilai tambah tinggi. Usaha mencapai status negara berpendapatan tinggi memerlukan perubahan daripada model ekonomi berasaskan buruh murah kepada ekonomi berteraskan pengetahuan, teknologi dan kemahiran.

KESAN TERHADAP KEHIDUPAN RAKYAT

Kemasukan warga asing tanpa kawalan yang berkesan turut menimbulkan kebimbangan dari sudut keselamatan awam. Individu yang tidak melalui tapisan keselamatan dan pemeriksaan dokumen sewajarnya boleh membuka ruang kepada kegiatan jenayah rentas sempadan, pemalsuan dokumen serta sindiket pemerdagangan manusia. 

Rekod penguatkuasaan pihak berkuasa juga menunjukkan pembabitan sebahagian warga asing dalam pelbagai kesalahan jenayah, termasuk pecah rumah, samun dan pemalsuan dokumen pengenalan diri.

Selain itu, kegiatan penyalahgunaan lesen perniagaan menerusi sindiket yang dikenali sebagai ‘Ali Baba’ menjejaskan persaingan dalam ekonomi tempatan. Melalui kaedah ini, lesen milik warga tempatan dipercayai digunakan atau disewakan kepada pihak asing untuk menjalankan perniagaan, termasuk peruncitan, pemborongan dan perkhidmatan makanan.

Amalan tersebut bukan sahaja menjejaskan peluang peniaga kecil tempatan, malah boleh menyebabkan ketirisan hasil kerajaan serta melemahkan integriti sistem pelesenan. 

Peniaga yang beroperasi tanpa mematuhi peraturan cukai, caruman pekerja dan piawaian keselamatan pula berpotensi menawarkan harga lebih rendah berbanding pengusaha yang memenuhi semua kewajipan undang-undang.

Tekanan turut dirasai oleh kemudahan awam, khususnya perkhidmatan kesihatan dan perbandaran. Pertambahan penduduk yang tidak direkodkan secara rasmi boleh menyukarkan perancangan kemudahan asas, pengurusan sisa pepejal serta penyelenggaraan kawasan perumahan.

Keadaan ini berpotensi meningkatkan beban pihak berkuasa tempatan, terutama di kawasan yang mempunyai kepadatan penduduk tinggi.

Dalam sektor kesihatan, kegagalan menjalani pemeriksaan sewajarnya boleh meningkatkan risiko penularan penyakit berjangkit. 

Pada masa sama, pekerja asing tanpa perlindungan insurans atau kemampuan kewangan mungkin bergantung pada hospital kerajaan apabila memerlukan rawatan kecemasan, termasuk kes bersalin dan rawatan pesakit dalam. Keadaan tersebut boleh menambah beban kewangan serta tuntutan terhadap sistem kesihatan awam.

Dari sudut sosial pula, pertumbuhan penempatan komuniti migran yang tidak terancang berpotensi mencetuskan ketegangan dengan penduduk tempatan. 

Perbezaan bahasa, budaya dan cara hidup, jika tidak diurus dengan baik, boleh menjejaskan keharmonian kejiranan. Aduan berkaitan kebersihan, keselamatan dan penggunaan ruang awam juga perlu ditangani secara adil agar tidak mencetuskan prasangka terhadap keseluruhan komuniti warga asing.

Pengurusan migrasi yang lemah turut menyukarkan usaha membina masyarakat yang memahami serta menghormati undang-undang dan norma kehidupan di Malaysia. Justeru, kawalan kemasukan, pemantauan penempatan dan pematuhan peraturan perlu berjalan seiring dengan usaha memelihara keharmonian masyarakat majmuk.

 

SOKONGAN INDUSTRI

Bagi menangani masalah ini, operasi bersepadu JIM, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi berkaitan perlu dilaksanakan secara konsisten. Tindakan tidak seharusnya tertumpu kepada pekerja tanpa dokumen semata-mata, sebaliknya turut menyasarkan majikan, sindiket dan pihak yang mengambil kesempatan terhadap kelemahan sistem penguatkuasaan.

Hukuman di bawah Akta Imigresen 1959/63 juga perlu dilaksanakan dengan tegas terhadap majikan yang melindungi atau menggajikan PATI. Pendekatan ini penting bagi memastikan tanggungjawab mematuhi undang-undang tidak hanya diletakkan pada pekerja asing, sedangkan pihak yang menyediakan peluang pekerjaan turut memainkan peranan besar dalam mendorong kemasukan mereka.

Kerajaan juga perlu mengawal jumlah pekerja asing berdasarkan keperluan sebenar industri. Sasaran mengehadkan pekerja asing kepada 15 peratus daripada keseluruhan tenaga buruh menjelang 2030 memerlukan pemantauan dan pelaksanaan dasar yang konsisten. 

Mekanisme Levi Pelbagai Peringkat pula boleh dimanfaatkan untuk menggalakkan majikan mengurangkan kebergantungan terhadap tenaga kerja berkos rendah.

Pada masa sama, PKS perlu diberikan sokongan untuk beralih kepada teknologi dan automasi menerusi insentif fiskal serta geran yang bersesuaian. Penggunaan jentera moden bukan sahaja dapat meningkatkan produktiviti, malah membuka ruang kepada pekerjaan berkemahiran tinggi dengan tawaran gaji lebih baik. 

Langkah ini juga berpotensi menarik minat belia tempatan untuk menyertai sektor yang selama ini bergantung pada tenaga kerja asing.

Kawalan sempadan turut memerlukan perhatian serius. Penggunaan teknologi pengawasan seperti dron dan radar pesisir pantai, selain memperkukuh keupayaan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia, dapat membantu mengekang laluan penyeludupan serta kemasukan secara haram. 

Kerjasama diplomatik dengan negara sumber juga penting bagi memastikan urusan pengambilan pekerja, pengesahan dokumen dan penghantaran pulang mereka yang melanggar undang-undang dapat dilaksanakan dengan lebih teratur. –UTUSAN

 

PROFESOR Madya Dr. Haliza Abdul Rahman ialah Ketua Laboratori Belia Dalam Kepimpinan, Politik dan Kewarganegaraan, Institut Pengajian Sains Sosial, Universiti Putra Malaysia (UPM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini