PETALING JAYA:Kee Ming Group Berhad (Kee Ming), penyedia penyelesaian kejuruteraan mekanikal dan elektrik (M&E), mencatatkan keuntungan selepas cukai (PAT) sebanyak RM14.48 juta bagi separuh pertama tahun kewangan berakhir 31 Mac 2027 (1H TK2027), meningkat lebih tiga kali ganda berbanding RM4.78 juta dalam tempoh sama tahun lalu.
Prestasi memberangsangkan itu didorong oleh peningkatan hasil dan sumbangan lebih tinggi daripada sektor perindustrian, komersial serta kemudahan interkoneksi, sekali gus menjadikan suku kedua tahun kewangan 2027 (S2 TK2027) sebagai suku paling kukuh kumpulan sejak disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada Februari lalu.
“Bagi suku berakhir 30 September 2026, Kee Ming merekodkan hasil sebanyak RM59.01 juta, meningkat 21.9 peratus berbanding RM48.40 juta pada suku sebelumnya.
“Keuntungan sebelum cukai (PBT) turut meningkat 22.5 peratus kepada RM10.85 juta, manakala PAT bertambah 24.5 peratus kepada RM8.03 juta,” katanya dalam kenyataan.
Bagi tempoh enam bulan pertama tahun kewangan 2027, hasil kumpulan melonjak 108.1 peratus kepada RM107.41 juta berbanding RM51.63 juta dalam tempoh sama tahun sebelumnya.
PBT pula meningkat 189.2 peratus kepada RM19.71 juta, manakala keuntungan kasar bertambah 115.9 peratus kepada RM24.61 juta.
Prestasi itu turut mencerminkan peningkatan margin keuntungan kasar kepada 22.9 peratus berbanding 22.1 peratus sebelumnya, disokong campuran projek yang lebih menguntungkan serta peningkatan skala operasi.
Lebih memberangsangkan, keuntungan bersih bagi tempoh enam bulan pertama itu sudah mewakili kira-kira 89 peratus daripada keseluruhan PAT sebanyak RM16.27 juta yang dicatatkan bagi tahun kewangan 2026.
Dari segi kedudukan perniagaan, buku pesanan tertunggak kumpulan meningkat kepada RM211.5 juta setakat 30 September 2026 berbanding RM206.4 juta pada akhir Jun lalu, sekali gus memberikan keterlihatan hasil yang lebih baik bagi baki tahun kewangan semasa.
Pada masa sama, kedudukan kewangan kumpulan kekal kukuh dengan tunai, baki bank dan deposit tetap berjumlah RM40.40 juta, berbanding pinjaman serta liabiliti pajakan sebanyak RM8.38 juta, menghasilkan kedudukan tunai bersih kira-kira RM32.02 juta.
Pengarah Urusan Kee Ming Group Berhad, Ir. Liew Kar Hoe berkata, prestasi suku kedua itu mencerminkan keupayaan kumpulan meningkatkan skala operasi dan penyampaian projek, sekali gus mencapai paras tertinggi baharu dari segi hasil serta keuntungan bersih.
“Dalam tempoh hanya enam bulan, kami telah mencapai keuntungan bersih hampir menyamai keseluruhan pencapaian tahun kewangan 2026, sekali gus menunjukkan skala yang telah dicapai oleh platform projek kami.
“Lebih penting, buku pesanan terus berkembang kepada RM211.5 juta walaupun kami meningkatkan penyampaian projek, memberikan keterlihatan yang baik untuk sepanjang tahun kewangan,” katanya.
Beliau berkata, walaupun margin keuntungan kasar sedikit sederhana berikutan perubahan campuran projek, margin PBT dan PAT terus bertambah baik hasil pengurusan kos lebih ketat serta peningkatan kecekapan operasi.
Katanya, kedudukan tunai bersih yang kukuh, penubuhan anak syarikat baharu di Malaysia Timur serta pemilikan lesen Sijil Perolehan Kerja Kerajaan (SPKK) G7 meletakkan kumpulan pada kedudukan lebih baik untuk membida projek berskala besar.
Antara peluang yang disasarkan termasuk pembangunan pusat data, projek voltan tinggi, sektor perindustrian dan infrastruktur awam.
Pada September lalu, Kee Ming memperbadankan anak syarikat milik penuh, Kee Ming Engineering (East Malaysia) Sdn. Bhd. bagi meneroka peluang perniagaan kejuruteraan M&E yang semakin berkembang di Malaysia Timur.
Mengulas prospek, beliau berkata, kumpulan kekal positif terhadap permintaan perkhidmatan kejuruteraan M&E domestik, disokong pengembangan pusat data, pembangunan perindustrian, projek infrastruktur serta peralihan tenaga negara.
Dengan memanfaatkan lesen SPKK G7, kumpulan turut menyasarkan penyertaan dalam projek infrastruktur awam berskala lebih besar di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Sementara itu, sejak penyenaraian di Pasaran ACE pada 12 Februari 2026, Kee Ming telah menggunakan RM12.52 juta daripada keseluruhan hasil tawaran awam permulaan (IPO) sebanyak RM25.32 juta setakat 30 September lalu.
Dana berkenaan digunakan antaranya bagi modal kerja projek, pengembangan pasukan projek serta pelaksanaan sistem perancangan sumber perusahaan (ERP) bagi meningkatkan kapasiti pelaksanaan dan kecekapan operasi kumpulan.
Lembaga Pengarah kekal optimis terhadap prospek kumpulan bagi TK2027, disokong pertumbuhan buku pesanan, peluang tender yang aktif serta permintaan berterusan terhadap perkhidmatan kejuruteraan M&E.-UTUSAN











