PETALING JAYA: Selepas beberapa hari menerima rawatan di ICU akibat jangkitan kuman pada paru-paru, pelawak, Amir Raja Lawak kini tidak lagi memerlukan bantuan oksigen.
Pun begitu, Amir atau Mohammad Amirullah Azmi, 37, berkata, dia masih mengalami kesukaran untuk berjalan dan bercakap dalam tempoh lama kerana keadaan fizikalnya belum kembali seperti biasa.
“Alhamdulillah, sudah tidak pakai oksigen. Cuma tidak boleh berjalan atau bercakap banyak lagi l. Saya cuba berjalan, tapi dua langkah pun semput cari nafas,” katanya menerusi satu hantaran di Instagram miliknya.
Selain berkongsi keadaan kesihatannya, Amir turut menjelaskan kesan pada dahi dan hidung yang kelihatan selepas menjalani rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) berpunca daripada penggunaan mesin bantuan pernafasan BiPAP.
“Dekat dahi dengan hidung itu kesan pakai mesin BiPAP semasa di ICU. Katanya saya perlu sental dengan Vaseline nanti untuk bagi bersih dan nampak natural balik,” katanya.
Dalam pada itu, Amir turut menyuarakan hasrat untuk kembali berbalas gurauan dengan pengikutnya di media sosial, meskipun belum berupaya melayani semua komen seperti sebelum ini.
“Baiklah, dengan ini kita sekarang sudah boleh mula bergurau atau bahan-membahan balik di media sosial, cuma komen-komen saya tak dapat balas semua macam dahulu. ‘Yuolmismirait?’ Tunggu!” katanya.
Terdahulu, Amir dimasukkan ke ICU Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu pada 11 November lalu akibat jangkitan kuman pada paru-paru sehingga memerlukan bantuan pernafasan.










