MUSIM banjir bukan sekadar menguji keupayaan sesebuah kawasan menghadapi limpahan air, malah memperlihatkan sejauh mana masyarakat mampu mengurus kehidupan dalam keadaan tidak menentu.
Bagi sesetengah keluarga, kejadian ini mungkin hanya mengganggu rutin harian. Namun, bagi golongan lain, banjir boleh menjejaskan kediaman, harta benda dan sumber pendapatan dalam sekelip mata.
Kesan bencana tidak ditanggung secara sama rata. Kedudukan ekonomi, jenis pekerjaan, keadaan tempat tinggal dan sokongan yang dimiliki mempengaruhi kemampuan sesebuah keluarga untuk menghadapi situasi tersebut. Justeru, kesiapsiagaan rakyat perlu dilihat secara menyeluruh, bukan sekadar menyediakan bekalan atau berpindah apabila diarahkan.
Pun begitu, tidak semua keluarga mempunyai lebihan pendapatan untuk membeli bekalan tambahan atau menyediakan peralatan kecemasan. Bagi golongan berpendapatan rendah, perbelanjaan bulanan lazimnya sudah diperuntukkan untuk makanan, sewa, pengangkutan dan pendidikan.
Oleh itu, pendidikan kesiapsiagaan perlu menawarkan panduan praktikal berdasarkan kemampuan masyarakat. Persediaan tidak semestinya memerlukan perbelanjaan besar, sebaliknya menuntut pengetahuan tentang keperluan utama, pengurusan wang dan penggunaan sumber yang tersedia secara berhemah.
Kesan banjir turut berlanjutan selepas air surut apabila keluarga terpaksa menanggung kos membaiki atau menggantikan perabot, peralatan elektrik dan kenderaan. Ada yang menggunakan simpanan untuk menampung kerugian, manakala peniaga kecil serta pekerja harian mungkin kehilangan sumber pendapatan.
Keadaan ini boleh menjejaskan kuasa beli dan memaksa keluarga mengutamakan perbelanjaan asas. Pada masa sama, gangguan pengangkutan dan kekurangan bekalan boleh mengehadkan pilihan pengguna.
Risiko kenaikan harga tidak munasabah serta penjualan barangan tidak berkualiti juga perlu diberikan perhatian.
Pemantauan harga, kelancaran pengedaran dan penguatkuasaan terhadap amalan perniagaan tidak beretika perlu diperkukuh. Peniaga pula wajar mengutamakan tanggungjawab sosial agar kesukaran mangsa tidak dijadikan peluang mengaut keuntungan berlebihan.
Keluarga yang mempunyai warga emas, kanak-kanak, orang kurang upaya (OKU) atau individu yang memerlukan rawatan berterusan memerlukan perancangan khusus. Begitu juga penduduk yang tidak mempunyai kenderaan sendiri kerana kemampuan mereka untuk berpindah dan mendapatkan bantuan mungkin lebih terbatas.
Pihak berkuasa tempatan (PBT) dan komuniti perlu mengenal pasti keperluan golongan ini lebih awal. Maklumat tentang laluan pemindahan, pusat perlindungan dan saluran bantuan juga perlu disampaikan dengan jelas supaya tindakan dapat diambil tanpa kelewatan.
Hubungan kejiranan yang baik mampu membantu masyarakat menghadapi bencana. Bantuan memindahkan barangan, menyampaikan maklumat dan menghubungkan mangsa dengan agensi berkaitan boleh meringankan beban keluarga terjejas.
Bagaimanapun, pengagihan bantuan perlu diselaraskan supaya tidak berlaku pertindihan atau pembaziran. Kerjasama antara komuniti, pertubuhan masyarakat dan agensi kerajaan penting bagi memastikan sumbangan sampai kepada mereka yang benar-benar memerlukan.
Kesiapsiagaan juga perlu dijadikan budaya, bukan hanya kempen bermusim ketika hujan lebat. Pendidikan pengguna berkaitan pengurusan kewangan kecemasan, hak pengguna dan penilaian maklumat dapat membantu rakyat membuat keputusan yang lebih baik. Literasi digital turut penting bagi mengelakkan penyebaran maklumat tidak sahih yang boleh mencetuskan panik.
Akhirnya, tanggungjawab menghadapi banjir tidak terletak pada individu atau kerajaan semata-mata. Keluarga, komuniti, pihak berkuasa dan sektor perniagaan perlu memainkan peranan masing-masing.
Banjir mungkin sukar dielakkan sepenuhnya tetapi persediaan yang terancang serta jaringan sokongan yang kukuh dapat mengurangkan kesannya dan membantu rakyat meneruskan kehidupan selepas bencana. –UTUSAN
DR. NURUL FARDINI ZAKARIA
Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan,
Universiti Utara Malaysia (UUM).











