2027 menuntut anjakan pemikiran guru

2027 menuntut anjakan pemikiran guru

KEJAYAAN Kurikulum Persekolahan 2027 (KP2027) bergantung pada keupayaan guru membina generasi berilmu, beradab dan berfikiran matang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MENJELANG 2027, warga pendidik sekali lagi berhadapan dengan perubahan besar dalam sistem pendidikan negara. Pelaksanaan Kurikulum Persekolahan 2027 (KP2027), perkembangan teknologi, perubahan keperluan murid dan tuntutan pembelajaran yang semakin kompleks memerlukan guru membuat persediaan menyeluruh.

Perubahan ini tidak seharusnya dilihat sekadar sebagai pelaksanaan kurikulum baharu, sebaliknya peluang untuk menilai semula tujuan pendidikan serta tanggungjawab guru dalam membentuk generasi masa hadapan.

Pelaksanaan KP2027 secara berperingkat bermula dengan murid Tahun 1 dan Tingkatan 1 pada 2027, manakala kurikulum prasekolah baharu telah dimulakan pada 2026. Penataran dan latihan profesional yang disediakan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) penting untuk memastikan guru memahami hala tuju perubahan tersebut.

Memuatkan artikel berkaitan…

Namun, kejayaan reformasi tidak boleh diukur berdasarkan jumlah kursus atau taklimat yang dihadiri. Guru perlu memahami rasional kurikulum supaya pelaksanaannya benar-benar memenuhi keperluan murid, bukan sekadar menyelesaikan tuntutan pentadbiran.

Antara perubahan pemikiran yang perlu diberikan perhatian ialah perbezaan antara pengajaran yang dilaksanakan dengan pembelajaran yang benar-benar dikuasai murid.

Guru mungkin menghabiskan sukatan dan menjalankan pelbagai aktiviti tetapi tahap kefahaman setiap murid tidak semestinya sama. Penilaian formatif, pemerhatian dan maklum balas berterusan dapat membantu mengenal pasti kelemahan lebih awal.

Apabila murid belum menguasai sesuatu kemahiran, guru perlu menilai semula pendekatan pengajaran, bukan sekadar menambah latihan yang sama. Keutamaan harus diberikan kepada keberkesanan pembelajaran, bukan hanya penyempurnaan rancangan mengajar.

Bagi murid Tahun 1, perhatian juga perlu diberikan kepada kesediaan mereka menyesuaikan diri dengan persekitaran sekolah. Kemahiran mengurus diri, berkomunikasi, menghormati orang lain serta mengamalkan nilai murni wajar dipupuk seiring dengan penguasaan membaca, menulis dan mengira.

Kanak-kanak berkembang pada tahap berbeza. Oleh itu, guru perlu memahami keperluan individu dan menyediakan suasana pembelajaran yang membolehkan mereka bertanya, mencuba serta melakukan kesilapan tanpa dihina. 

Empati bukan bermaksud mengetepikan disiplin, sebaliknya membantu guru memberikan bimbingan yang lebih berkesan.

Kemajuan kecerdasan buatan (AI) turut membawa dimensi baharu kepada pendidikan. Pengenalan asas AI melalui mata pelajaran Teknologi Digital dalam KP2027 menunjukkan usaha negara menyediakan murid menghadapi perkembangan teknologi.

Namun, kebolehan menggunakan peranti atau aplikasi tidak semestinya menggambarkan keupayaan berfikir secara kritis dan menilai maklumat. Murid perlu menguasai kemahiran asas sebelum dibimbing memanfaatkan teknologi secara selamat, beretika dan bertanggungjawab.

Pengalaman Sweden yang meningkatkan semula pelaburan dalam buku teks bercetak dan bahan bacaan selepas sekian lama menggalakkan penggunaan teknologi digital turut wajar diteliti. Pendekatan itu menunjukkan teknologi bukan satu-satunya ukuran kemajuan pendidikan. Pembacaan, penulisan tangan dan interaksi bersemuka masih mempunyai peranan penting.

Pendedahan kanak-kanak kepada telefon pintar sejak kecil juga menuntut penglibatan ibu bapa. Kebolehan bermain permainan digital tidak sama dengan literasi digital. Bimbingan tentang keselamatan dalam talian, batas penggunaan peranti dan tanggungjawab ketika mengakses maklumat perlu bermula di rumah serta diteruskan di sekolah.

Kesediaan profesional guru tidak seharusnya terhenti pada latihan. Mereka memerlukan ruang untuk mencuba pendekatan baharu, berkongsi pengalaman dan menilai keberkesanan pengajaran. Dalam penggunaan AI, guru juga perlu memahami batas teknologi serta membimbing murid agar tidak terlalu bergantung kepadanya.

Pada masa sama, kejayaan reformasi tidak boleh diletakkan di bahu guru semata-mata. Kepimpinan sekolah dan pihak pembuat dasar perlu menyediakan kemudahan, latihan relevan, masa persediaan serta sokongan berterusan. Beban pentadbiran juga wajar diteliti supaya tugas utama mendidik tidak terjejas.

Pandangan guru yang berhadapan secara langsung dengan murid perlu diberikan perhatian kerana mereka memahami realiti bilik darjah. Kebimbangan terhadap pelaksanaan sesuatu perubahan tidak semestinya tanda penolakan, sebaliknya boleh menjadi asas untuk menambah baik dasar.

Menjelang 2027, guru perlu lebih daripada sekadar bersedia mengikut perubahan. Mereka perlu terus belajar, memperkukuh amalan pengajaran dan mengutamakan perkembangan murid secara menyeluruh. –UTUSAN

 

SAMIHA MOHD. SALLEH

Kota Tinggi, Johor 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini