SHAH ALAM: Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di sini, hari ini kecoh apabila undi belah bahagi sokongan terhadap Belanjawan Selangor 2027 dibangkitkan selepas terdapat tujuh daripada pembangkang didakwa mengambil sikap berkecuali.
Perkara tersebut dibangkitkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Serdang Abbas Salimi Azmi (PH-Seri Serdang) yang mengemukakan surat kepada Speaker bagi mendedahkan wakil rakyat yang bersikap sedemikian dalam proses pengundian yang berlangsung pada Jumaat lalu.
Beliau berkata, wakil rakyat sewajarnya bersikap adil terhadap kerajaan negeri yang sudah pun membentangkan perancangan-perancangan penyelesaian masalah rakyat terutama isu banjir.
“Kita tak boleh menganggap perkara itu remeh kerana berbahas berhari-hari berbincang masalah banjir, kerajaan juga dikritik. dalam masa sama apabila kerajaan membentangkan semula segala usaha kerajaan tiba-tiba disokong dan bersikap berkecuali saya kira itu tidak bertanggungjawab,” katanya pada Sidang DUN Selangor di sini, hari ini.
Bagaimanapun, Mohd. Shafie Ngah (PN-Sungai Ramal) kemudian membantah ketika mencelah dengan mempersoalkan demokrasi di dalam sidang dewan apabila tindakan mendedahkan pihak yang berkecuali dalam undi belah bahagi itu sebagai cubaan menutup mulut pembangkang.
“Saya boleh menyokong cadangan Seri Serdang dan Pelabuhan Klang untuk membawa usul ke arah meminta Speaker membuat keputusan iaitu sesiapa yang tak menyokong belanjawan supaya halau mereka keluar, tak benarkan masuk dewan, paling bagus sekali adalah isytiharkan kerusi mereka kosong.
“Supaya rakyat nampak, jangan sampai rakyat kata banjir gagal diurus, ini pula demokrasi mahu dibunuh di dalam dewan ini,” tegasnya.
Bagaimanapun, Timbalan Speaker DUN Selangor, Mohd. Kamri Kamaruddin ketika mempengerusikan sidang tersebut memaklumkan pihaknya akan menyerahkan jawapan bertulis keputusan undi belah bahagi tersebut kepada Abbas Salimi.
Jumaat lalu, kelulusan Belanjawan Selangor 2027 berjumlah RM3.3 bilion diluluskan melalui undi belah bahagi yang diusulkan oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali walaupun tujuh daripada pembangkang dilapor bersikap berkecuali dalam proses tersebut.
Sementara itu, Nurul Syazwani Noh (PN-Permatang) ketika dihubungi memaklumkan tiada undi belah bahagi dilakukan terhadap belanjawan negeri ini pada tahun-tahun sebelum ini sejak Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor pada 2023.
“Saya tertanya-tanya, apakah sebenarnya mesej yang ingin disampaikan? Adakah mahu memberi gambaran bahawa sokongan PAS sudah tidak seperti dahulu, atau sekadar memperlihatkan wujudnya keretakan dalam PN?
“Kadangkala, sesuatu tindakan itu boleh membawa pelbagai tafsiran. Hanya yang berkenaan tahu maksud sebenarnya,” katanya. – UTUSAN










