KUALA LUMPUR: Seorang penjawat awam yang ditahan kerana disyaki terlibat dalam kegiatan membawa masuk warga asing tanpa dokumen sah pada 17 November lalu merupakan pegawai Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS).
Ketua Pengarah AKPS, Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, penahanan itu dilakukan selepas seorang pegawai wanita AKPS menyedari tindakan pegawai atasannya yang didakwa melakukan sesuatu di luar prosedur ditetapkan.
Sehubungan itu, beliau berkata, AKPS komited memberikan kerjasama kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi membongkar kemungkinan rangkaian lebih besar dalam kegiatan penyeludupan migran susulan kes berkenaan.
“Kami berharap pihak PDRM dapat merungkai rangkaian yang lebih besar daripada penangkapan pegawai ini dan saya bersedia untuk bekerjasama dengan PDRM dalam isu ini.
“Tangkap berapa ramai yang perlu ditangkap. Saya rasa rakyat Malaysia sudah cukup dengan kegiatan seperti ini,” katanya selepas Majlis Penajaan Inisiatif Sang Perkasa, di sini, hari ini.
Beliau berkata, kes itu tidak boleh dipandang ringan kerana kegiatan sedemikian berpotensi melibatkan percaturan kaunter atau counter setting.
Mohd. Shuhaily bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai modus operandi kes berkenaan kerana siasatan masih berjalan.
“Saya tidak mahu mengulas lanjut kerana siasatan sedang dijalankan. Saya hanya boleh menjelaskan mengenai pegawai saya dan keberanian beliau,”jelasnya.
Dalam pada itu, Mohd. Shuhaily turut memuji keberanian pegawai wanita berkenaan dan menyifatkan tindakan itu sebagai titik permulaan kepada perubahan yang ingin dibawa dalam AKPS.
“Saya akan menemui pegawai berkenaan dalam masa terdekat untuk menyampaikan penghargaan atas keberanian dan integriti yang ditunjukkan.
“Keberanian seperti ini perlu dihargai dan dihormati kerana hanya seorang individu boleh mengubah apa yang berlaku di lapangan. Beliau berani tampil walaupun berdepan cabaran dan saya akan berada di belakang beliau,” jelasnya.
Katanya, pegawai berkenaan pada ketika ini masih dalam tahanan pihak polis.
Pada 17 November lalu, pegawai AKPS berusia 40-an itu ditahan selepas disyaki membawa masuk seorang wanita warga asing berusia 38 tahun tanpa dokumen perjalanan sah melalui kaunter pemeriksaan imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2.
Kes disiasat mengikut Seksyen 26B(d) Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM). – UTUSAN











