73,594 calon SPM Selangor terima manfaat NUTRISEL

73,594 calon SPM Selangor terima manfaat NUTRISEL

AMIRUDIN Shari ketika menghadiri Program NUTRISEL di Maahad Integrasi Tahfiz Selangor (MITS) Alam Impian, Klang, Selangor hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Seramai 73,594 orang calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2026 di Selangor menerima manfaat menerusi Program Nutrisi Selangor (NUTRISEL) SPM 2026 yang dilaksanakan dengan peruntukan sebanyak RM3 juta.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, program berkenaan menyediakan makanan pagi atau tengah hari secara percuma kepada calon SPM sepanjang lima hari peperiksaan bagi mata pelajaran teras.

“Kami anggarkan ada 73,000 pelajar secara keseluruhannya yang akan diberikan makanan pagi ataupun tengah hari yang disiapkan oleh pihak MBI dan juga kerajaan negeri.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kami tumpukan untuk lima hari sahaja iaitu hari-hari untuk mata pelajaran teras,” katanya semasa sidang akhbar Program NUTRISEL di Maahad Integrasi Tahfiz Selangor (MITS) Alam Impian, Klang di sini hari ini.

Beliau berkata, program yang berlangsung mulai hari ini hingga 30 November itu melibatkan 256 sekolah dan 20 institusi pendidikan di seluruh negeri.

Katanya, daripada jumlah keseluruhan penerima, seramai 71,152 calon menerima set makanan tengah hari bernutrisi bernilai RM8 sehari manakala 2,442 calon di 20 institusi menerima Bakul NUTRISEL/

Dalam pada itu, Amirudin berkata, peruntukan sebanyak RM3 juta itu terdiri daripada RM2.9 juta daripada Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) dan RM100,000 daripada Menteri Besar Incorporated (MBI) menerusi Yayasan MBI.

“Pelaksanaan program berkenaan dikendalikan UPEN dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS),” katanya.

Dalam perkembangan lain, Amirudin berkata, setakat ini beliau belum menerima sebarang laporan mengenai calon SPM yang terjejas akibat banjir di mana-mana kawasan.

“Namun, Jabatan Pendidikan sudah mengambil maklum berkenaan calon yang terjejas banjir.

“Daripada lawatan saya itu, sekiranya ada calon yang terjejas memang kami akan uruskan pengangkutan mereka dan sebagainya untuk pergi.

“Setakat ini keadaan sudah kelihatan baik dan juga semakin surut. Kami akan cuba membantu proses pembersihan rumah-rumah mereka,” katanya.

Dalam pada itu, kerajaan negeri turut menyalurkan bantuan sebanyak RM50,000 kepada MITS Alam Impian bagi tujuan membaik pulih surau dan fasiliti sukan.

MITS Alam Impian turut menerima manfaat menerusi NutriSel SPM 2026 membabitkan 66 calon peperiksaan terdiri daripada 50 pelajar sekolah berkenaan dan 16 calon persendirian. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini