Pekema teroka peluang eksport, ekonomi kitaran - Utusan Malaysia

Pekema teroka peluang eksport, ekonomi kitaran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Persatuan Pengimpot dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (Pekema) komited memperluas peranan usahawan Bumiputera dalam industri automotif negara menerusi penerokaan pasaran eksport kenderaan, pembangunan ekosistem kenderaan elektrik (EV) serta peluang baharu dalam industri pelupusan dan kitar semula kenderaan akhir hayat (ELV).

Presidennya, Datuk Mohamed Nazari Noordin berkata, selepas 45 tahun penubuhannya, Pekema terus berkembang sebagai platform penyatuan usahawan Bumiputera dalam sektor automotif, dengan jumlah keahlian kini meningkat kepada 440 syarikat di seluruh negara berbanding 48 syarikat pada peringkat awal penubuhannya.

“Perubahan landskap industri menuntut syarikat ahli meningkatkan kecekapan operasi, mempelbagaikan sumber pendapatan dan berani meneroka peluang perniagaan di luar model pengimportan kenderaan konvensional.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Pekema bukan sekadar sebuah persatuan, tetapi sebuah ekosistem yang perlu terus berkembang dalam persekitaran yang lebih segar dan mampan. Kita mahu usahawan Bumiputera bukan sahaja mengambil bahagian dalam perubahan industri, malah turut menjadi sebahagian daripada rantaian nilai dan pembangunan industri automotif negara,” katanya dalam Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Pekema kali Ke-45 tahun 2026.

Mesyuarat dirasmikan Timbalan Ketua Setiausaha (Industri), Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Hanafi Sakri yang hadir mewakili Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

AGM turut menyaksikan pemilihan barisan kepimpinan Ahli Jawatankuasa Pekema baharu bagi penggal 2026 hingga 2029.

Hanafi semasa ucapan perasmian Sakri berkata, MITI turut menggalakkan Pekema memanfaatkan kepakaran serta pengalaman luas ahlinya dalam bidang pengimportan kenderaan untuk meneroka peluang eksport, khususnya pasaran kereta terpakai ke Bangladesh dan Pakistan.

“Ini membuka peluang kepada syarikat ahli Pekema untuk memperluas skop perniagaan daripada aktiviti pengimportan kepada perdagangan automotif antarabangsa, sekali gus meneroka pasaran baharu yang berpotensi menjana nilai ekonomi kepada industri automotif tempatan.

“Perbincangan lanjut antara MITI, Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) serta Pekema perlu diadakan bagi meneliti potensi kedua-dua pasaran tersebut, termasuk mekanisme dan prosedur eksport, keperluan perdagangan serta standard pemeriksaan kenderaan yang ditetapkan oleh negara pengimport.

“Kajian menyeluruh terhadap keperluan pasaran Bangladesh dan Pakistan juga penting bagi mengenal pasti kesesuaian model perniagaan, syarat kemasukan kenderaan serta aspek pematuhan sebelum sebarang pelaksanaan dapat dipertimbangkan,” jelasnya.

Dalam pada itu, Pekema melihat saranan itu sebagai peluang strategik untuk memperluas penglibatan usahawan Bumiputera dalam rantaian perdagangan automotif antarabangsa dan meletakkan Malaysia bukan sahaja sebagai negara pengimport, malah berpotensi menjadi negara pengeksport kenderaan terpakai ke pasaran serantau dan antarabangsa.

Selain peluang eksport, AGM kali ini turut menyaksikan cadangan daripada ahli supaya Pekema meneroka peluang mendapatkan lesen Authorised Automotive Treatment Facility (AATF) atau Kemudahan Rawatan Automotif Berlesen bagi menyokong agenda Kerajaan berkaitan pengurusan Kenderaan Akhir Hayat (End-of-Life Vehicle – ELV).

Cadangan itu dilihat berpotensi membuka satu lagi cabang perniagaan kepada syarikat ahli, khususnya dalam pengurusan kenderaan yang telah mencapai akhir jangka hayat penggunaannya, termasuk kenderaan yang usang, rosak teruk atau tidak lagi ekonomik untuk dibaiki.

Melalui kemudahan AATF, kenderaan yang telah dibatalkan pendaftarannya boleh melalui proses peleraian dan pengasingan komponen untuk tujuan guna semula, kitar semula, pemulihan bahan serta pelupusan akhir mengikut piawaian alam sekitar dan peraturan yang ditetapkan.

Penglibatan Pekema dalam bidang itu berpotensi mewujudkan peluang ekonomi baharu melalui penggunaan semula alat ganti, pemulihan komponen dan pengurusan bahan kitar semula, di samping menyokong pembangunan ekonomi kitaran (circular economy) negara.

Pekema turut melihat cadangan tersebut sebagai satu peluang strategik yang wajar dikaji bersama pihak berkuasa berkaitan, khususnya dari aspek keperluan pelesenan, pelaburan, kepakaran teknikal dan model perniagaan yang bersesuaian.

Seiring transformasi industri automotif, Pekema terus mempergiat usaha membuka peluang kepada syarikat ahli untuk menyertai ekosistem kenderaan elektrik (EV) dan mobiliti hijau.

Antara pencapaian penting ialah pelaksanaan inisiatif pembangunan infrastruktur pengecasan pantas EV oleh SenangCas Sdn. Bhd., syarikat usahasama Pekema bersama Aquateak Energy, bagi menyokong perkembangan penggunaan EV di negara ini.

Usaha itu mencerminkan komitmen Pekema untuk memperluas penglibatan syarikat Bumiputera dalam ekosistem automotif baharu, khususnya menerusi pembangunan infrastruktur dan perkhidmatan sokongan yang semakin penting dalam peralihan industri ke arah mobiliti hijau.-UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini