PETALING JAYA: Hampir 19 juta rakyat Malaysia tidak mempunyai simpanan sekurang-kurangnya RM1,000 untuk kecemasan, menurut laporan Bank Negara Malaysia (BNM).
Jika dikira berdasarkan anggaran jumlah rakyat negara ini sekitar 31 juta orang, nilai 61 peratus seperti dilaporkan BNM adalah bersamaan kira-kira 18.91 juta orang.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, keadaan itu menunjukkan sebahagian besar rakyat masih tidak mempunyai simpanan mencukupi untuk menghadapi situasi tidak dijangka.
Beliau berkata, sebanyak 37 peratus rakyat juga tidak mempunyai simpanan mencukupi untuk menampung perbelanjaan selama tiga bulan sekiranya kehilangan pekerjaan.
“Ini antara cabaran berdasarkan fakta dan angka yang dikemukakan oleh BNM. Oleh itu, saya berpendapat bahawa literasi kewangan amat penting dan perlu terus dipertingkatkan,” katanya ketika berucap pada program Juh Kita Melabur, Anak Sarawak di cawangan Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) Kuching, Sarawak semalam.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif ASNB, Fadzihan Abbas Mohamed Ramlee berkata, pendidikan kewangan perlu diterapkan sejak usia muda bagi membentuk generasi yang lebih bijak mengurus kewangan.
Katanya, pemahaman mengenai nilai wang, kepentingan menyimpan dan asas pelaburan sejak awal akan membantu golongan muda membuat keputusan kewangan lebih baik apabila memasuki alam dewasa.
“Kami juga amat menghargai sambutan yang diberikan oleh rakyat Sarawak terhadap pelbagai program pendidikan kewangan yang telah dianjurkan sebelum ini.
“Sambutan tersebut menunjukkan bahawa minat untuk belajar, menyimpan dan melabur sememangnya wujud dalam kalangan masyarakat di negeri ini,” katanya.
Beliau berkata, ASNB memperkenalkan Kempen Juh, Melabur Menang Mas khusus untuk rakyat Sarawak.
Kempen yang berlangsung dari 1 November hingga 31 Disember itu terbuka kepada pemegang unit yang memenuhi syarat kelayakan sebagai peserta dari Sarawak. – UTUSAN











