BAGAN DATUK: Alunan lagu-lagu Melayu klasik era 1920-an yang berkumandang hampir setiap hari dari sebuah rumah di Kampung Sungai Batang di sini, bukan sekadar menghidupkan suasana desa, malah membawa pendengar mengimbau nostalgia muzik zaman silam.
Lebih menarik, alunan merdu itu datang daripada sebuah gramofon lama yang menggunakan piring hitam, sebahagian daripada koleksi barangan antik milik Azami Hamdan, 65, yang diwarisi daripada arwah bapanya.
Menurut Azami, minat mengumpul barangan antik termasuk piring hitam bermula sejak berusia 18 tahun, malah sebahagian koleksi berkenaan sudah berada dalam simpanannya sejak puluhan tahun lalu.
Katanya, koleksi piring hitam itu kebanyakannya mengandungi lagu-lagu daripada filem Melayu sekitar penghujung 1910-an hingga 1940-an, selain rakaman nyanyian penyanyi popular tanah air seperti Sanisah Huri, Rafeah Buang, Hail Amir, Sharifah Aini dan Dahlan Zainuddin.
“Minat terhadap koleksi yang ada itu terutama piring hitam sangat mendalam dan kebanyakan koleksi piring hitam itu adalah lagu-lagu dari wayang-wayang sekitar tahun akhir 1910-an hingga 1940-an.
“Bagi koleksi lagu Melayu terdapat juga nyanyian lagu-lagu pop seperti Sanisah Huri, Rafeah Buang, Hail Amir, Sharifah Aini dan Dahlan Zainuddin,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Selain lagu Melayu, koleksi berkenaan turut merangkumi rakaman lagu Tamil yang menampilkan penyanyi terkenal seperti Sathasivam, Thyagaraja dan Bhagavathar.
Bagi memastikan khazanah lama itu terus terpelihara, Azami sentiasa membersihkan piring hitam miliknya supaya berada dalam keadaan baik dan boleh dimainkan.
Bagaimanapun, beliau tidak berhasrat menjual koleksi piring hitam mahupun barangan antik peninggalan arwah bapanya kerana menganggapnya sebagai warisan keluarga yang mempunyai nilai sentimental tersendiri.
Katanya, koleksi berkenaan hanya dipamerkan pada acara tertentu dan pernah memenangi tempat pertama dalam program Kampung Tercantik di daerah Bagan Datuk.
Sejak itu, kediamannya mula menjadi tumpuan orang ramai dan pelancong yang ingin melihat sendiri koleksi barangan antik yang disimpan sejak sekian lama.
Selain piring hitam dan gramofon, antara barangan lama yang turut menjadi koleksi Azami termasuk almari, katil kayu, duit syiling lama, setem, pinggan mangkuk, keris dan pedang. – UTUSAN











