IPOH: Skuad hoki negara diingatkan tidak terbuai dengan dua kemenangan awal sebaliknya perlu mengekalkan momentum apabila berdepan pendatang baharu, Amerika Syarikat (AS) dalam Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah (PSAS) 2026, malam ini.
Ketua jurulatih, Brendon Carolan menegaskan Speedy Tigers tidak boleh memandang rendah kemampuan lawan meskipun AS bukan pasukan yang berada dalam kelompok ranking tertinggi.
“Lawan yang ditemui kali ini mungkin tidak menduduki ranking tinggi tetapi itu tidak bermakna kita boleh memandang mudah perlawanan ini, sebaliknya saya mahu pemain meneruskan momentum untuk mengekalkan rentak kemenangan,” katanya.
Malaysia membuka kempen PSAS 2026 dengan langkah meyakinkan apabila menewaskan Korea Selatan 3-0 sebelum membelasah Kanada 6-0, kelmarin, namun Carolan mengingatkan masih terdapat beberapa kelemahan yang perlu diperbaiki.
Jurulatih dari Afrika Selatan itu bimbang kelemahan berkenaan boleh dimanfaatkan lawan sekiranya pemain gagal mengekalkan tahap permainan, terutama dalam aspek penyudah menerusi pukulan sudut penalti.
Carolan berkata, secara keseluruhan beliau berpuas hati dengan prestasi pemain setakat ini, namun mahu mereka terus fokus dan tidak terlalu yakin dengan pencapaian awal dalam kejohanan.
“Secara keseluruhan saya berpuas hati dengan pemain Speedy Tigers setakat ini tetapi kita tidak boleh terlalu yakin.
“Pukulan sudut penalti adalah peluang keemasan untuk menjaringkan gol, jadi jangan disia-siakan,” katanya.
Malaysia sebelum ini merangkul kejuaraan sulung PSAS pada edisi 2022 selepas menewaskan Korea Selatan 3-2 dalam aksi final. – UTUSAN











