BESUT: Kesempitan hidup memaksa sepasang suami isteri bersama enam anak mereka menjadikan sebuah pondok usang di Pantai Benting Lintang, di sini, sebagai tempat tinggal mereka.
Pasangan Rohani Mohamed, 34, dan Wan Azizi Wan Abdul Rahman, 35, memberitahu, mereka tinggal di pondok itu sejak September lalu apabila terpaksa keluar daripada rumah sewa sebelum ini.
Rohani berkata mereka bersama enam anak berusia tiga hingga 16 tahun memilih berpindah ke pondok berkenaan kerana tidak mahu terus membebankan adik-beradik yang turut berdepan kesulitan hidup.
“Adik-beradik pun masing-masing menyewa dan mempunyai tanggungan sendiri. Saya tidak mahu terus menyusahkan mereka, disebabkan itu kami rela hidup seperti ini.
“Meskipun begitu, sebagai ibu saya juga sedih apabila mendengar anak-anak merintih, tetapi saya tiada pilihan lain. Kami memang tidak mampu menyewa rumah dengan pendapatan yang tidak menentu,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.
Jelasnya lagi, pendapatan suaminya yang hanya bekerja mencari lokan tidak menentu menyebabkan mereka tidak mampu menyewa rumah apatah lagi menyediakan wang deposit untuk mendapatkan kediaman sendiri.
Rohani berkata, mereka sekeluarga kini bergantung kepada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM850 sebulan bagi menampung keperluan harian termasuk perbelanjaan persekolahan anak anak.
Menurut Rohani, sebelum ini mereka pernah menerima bantuan sewa rumah daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu namun bantuan itu dihentikan awal tahun ini selepas pihak berkenaan dimaklumkan keluarga mereka sudah mendapat tempat tinggal percuma.
Rohani juga memberitahu, mereka juga terpaksa berteduh di dalam kereta terpakai milik suaminya ketika hujan.
“Saya risau keselamatan anak-anak, lebih-lebih lagi sekarang musim tengkujuh. Kalau hujan, kami terpaksa basah sebelum masuk berteduh dalam kereta.
“Anak-anak masih kecil dan saya bimbang keadaan mereka jika hujan lebat atau angin kuat,” luahnya.
Ujian berganda turut dihadapi apabila anak bongsunya menghidap asma kronik dan sentiasa memerlukan rawatan manakala dia sendiri juga mengalami penyakit sama sejak kecil.
Sehubungan itu, keluarga berkenaan berharap keadaan mereka mendapat perhatian pihak berkaitan bagi membantu menyediakan kediaman lebih sesuai demi keselamatan dan kebajikan enam anaknya. – UTUSAN











