ANTALYA: Presidensi Persidangan Perubahan Iklim PBB (COP31) mengemukakan cadangan perjanjian baharu pada saat akhir yang sekali lagi tidak menyentuh isu bahan api fosil secara khusus, sekali gus mencetuskan ketegangan dalam rundingan.
Cadangan yang dikemukakan Turkiye dan Australia selaku tuan rumah bersama persidangan itu semalam gagal merungkai pertikaian berhubung penggunaan bahan api fosil, meskipun rundingan berlanjutan melepasi tempoh ditetapkan.
Bagaimanapun, draf berkenaan masih mengekalkan matlamat memperluas penggunaan tenaga elektrik dalam ekonomi global yang menjadi antara tuntutan utama dalam rundingan itu.
Cadangan tersebut memerlukan persetujuan hampir 200 negara pada sesi penutup persidangan, namun perbezaan pendirian antara negara peserta masih belum dapat dirapatkan selepas dua minggu rundingan.
Isu bahan api fosil terus menjadi pertikaian utama dalam persidangan kali ini, yang berlangsung ketika harga tenaga dunia melonjak dan ketegangan geopolitik meningkat susulan perang di Iran.
Draf perjanjian yang dibentangkan awal minggu ini mencadangkan usaha mempercepatkan peralihan daripada penggunaan bahan api fosil.
Bagaimanapun, versi kedua yang lebih ringkas dan dikeluarkan pada 19 November menggugurkan semua rujukan kepada arang batu, minyak dan gas.
Ancaman beberapa negara untuk menarik diri daripada rundingan mendorong Turkiye dan Australia mengadakan pertemuan tergempar antara Kesatuan Eropah (EU) dan Arab Saudi yang mempunyai pendirian bertentangan mengenai isu bahan api fosil.
Teks terbaharu itu turut memasukkan rujukan kepada perjanjian global yang dicapai pada 2023 untuk mengurangkan kebergantungan dunia terhadap bahan api fosil, namun masih tidak menyebutnya secara jelas.
Draf itu turut menggesa negara-negara meningkatkan penggunaan tenaga elektrik kepada 35 peratus daripada jumlah penggunaan tenaga akhir global menjelang 2035, selain memperluas penggunaan tenaga bersih.
Persidangan berkenaan berdepan tekanan untuk menunjukkan kemajuan dalam menangani peningkatan pelepasan gas rumah hijau, ketika pelbagai bencana berkaitan perubahan iklim melanda Eropah hingga Nepal dan Indonesia sepanjang tahun ini.- AFP








