JOHOR BAHRU: Malaysia akan mempergiat usaha peralihan kepada tenaga boleh diperbaharui (RE) bagi mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil selain meningkatkan daya tahan negara terhadap gangguan bekalan tenaga global.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, inisiatif tersebut turut dipercepatkan susulan konflik antara Amerika Syarikat dan Israel dengan Iran yang berpotensi menjejaskan rantaian bekalan tenaga global.
Katanya, inisiatif peralihan kepada tenaga boleh baharu seperti solar dan hidro dilaksanakan menerusi pelan hala tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) yang menyasarkan pencapaian sifar pelepasan karbon bersih menjelang tahun 2050.
“Tenaga boleh diperbaharui mempunyai kelebihan kerana sumbernya tidak akan pernah habis selain tidak bergantung kepada import bahan api dari luar negara.
“Tenaga solar boleh dijana selagi terdapat sinaran matahari. Selain itu, tenaga boleh diperbaharui juga bersifat domestik kerana ia tidak bergantung kepada import bahan api dan kurang terdedah kepada gangguan rantaian bekalan tenaga global,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Jualan Rahmah di Pangsapuri Desa Dato’ Hajah Hasnah, di sini hari ini.
Akmal berkata, penggunaan tenaga boleh baharu negara kini sudah mencapai kira-kira 25 peratus daripada kapasiti tenaga terpasang dan ia menjadi asas buat kerajaan menilai langkah mempercepatkan lagi proses peralihan tenaga tersebut.
Menurutnya, kerajaan akan terus memantau perkembangan semasa konflik di Asia Barat itu melalui Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, setiap minggu.
Ahli Parlimen Johor Bahru itu berkata, MTEN akan meneliti dan mengkaji impak
konflik berkenaan terhadap industri pengangkutan, khususnya sektor penerbangan, serta langkah mitigasi berkaitan bekalan minyak dan gas.
“Mesyuarat berkenaan yang akan dipengerusikan Perdana Menteri di ibu negara, esok turut melibatkan beberapa kementerian lain berkaitan dan tokoh industri.
“Pertamanya, kita mahu melihat dari sudut kebolehan bekalan minyak itu sendiri dan langkah-langkah mitigasi bagaimana untuk terus menjamin bekalan buat negara.
“Seterusnya, kita akan zoom in ke industri-industri yang terkesan akibat gangguan bekalan minyak di peringkat global ini,” ujarnya. – UTUSAN










