Nusantara berisiko jadi 'bandar hantu'

Nusantara berisiko jadi ‘bandar hantu’

GAMBAR fail menunjukkan istana presiden yang sedang dalam pembangunan di Ibu Kota Nusantara (IKN), di Kalimantan Timur.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NUSANTARA: Impian Indonesia membina ibu negara baharu di tengah hutan Kalimantan kini berisiko menjadi ‘bandar hantu’ apabila projek mega itu berdepan kekurangan pelaburan, pengurangan peruntukan kerajaan dan ketidaktentuan komitmen pentadbiran semasa.

Bandar raya yang dikenali sebagai Ibu Kota Nusantara (IKN) itu dibangunkan bagi menggantikan Jakarta yang berdepan masalah kesesakan lalu lintas, pencemaran udara dan penurunan tanah sehingga sebahagian kawasannya berada di bawah paras laut.

Bekas Presiden Indonesia, Joko Widodo atau Jokowi, mengumumkan rancangan pemindahan ibu negara pada 2019 dengan matlamat membangunkan sebuah pusat pentadbiran moden yang mampu menampung 1.9 juta penduduk menjelang 2045.

Memuatkan artikel berkaitan…

Projek yang dianggarkan menelan belanja AS$45 bilion (RM185 bilion) itu turut bertujuan mengalihkan tumpuan pembangunan ekonomi daripada Pulau Jawa, khususnya Jakarta, selain mewujudkan pusat pertumbuhan baharu bagi negara yang terdiri daripada ribuan pulau.

Pembinaan Nusantara bermula pada 2022 sebelum Jokowi merasmikan sebahagian kawasan berkenaan pada 2024 dan menyambut Hari Kemerdekaan Indonesia di istana baharu yang dibina di situ.

Bagaimanapun, masa depan projek itu mula menjadi tanda tanya selepas Presiden Prabowo Subianto mengambil alih pentadbiran negara apabila peruntukan pembangunan Nusantara dikurangkan daripada 43 trilion rupiah (RM14.3 bilion) pada 2024 kepada 13 trilion rupiah (RM2.92 bilion) pada 2025 dan 6.3 trilion rupiah (RM1.42 bilion) tahun ini.

Prabowo sebelum ini berjanji meneruskan agenda pembangunan Jokowi, namun beliau kini lebih memberi tumpuan kepada dasar utama pentadbirannya, termasuk program penyediaan makanan percuma di sekolah seluruh negara.

Malah, Prabowo hanya menyebut Nusantara sekali dalam ucapan Kenegaraan 2025 dan tidak menyentuh langsung projek itu dalam ucapan tahun ini, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai komitmen kerajaan terhadap pembangunan ibu negara baharu berkenaan.

Walaupun beliau menandatangani peraturan presiden yang menetapkan Nusantara sebagai ibu kota politik menjelang 2028, Mahkamah Perlembagaan Indonesia memutuskan Jakarta kekal sebagai ibu negara rasmi sehingga satu lagi dekri presiden dikeluarkan.

Ketika ini, kawasan lebih luas Nusantara mempunyai kira-kira 147,000 penduduk, namun jumlah yang menetap di pusat bandar baharu itu jauh lebih kecil, dengan sekitar 1,800 penjawat awam serta anggota pertahanan dan keselamatan ditempatkan di menara kediaman yang dibina.

Seorang kakitangan muda Pihak Berkuasa Ibu Kota Nusantara (OIKN), Ranty Wiyati berkata, kehidupan di bandar itu lebih tenang berbanding Jakarta, meskipun pilihan hiburan masih terhad dan jumlah penduduk belum ramai.

Beliau berharap lebih ramai penjawat awam dipindahkan ke Nusantara bagi menghidupkan suasana bandar raya itu yang turut dilengkapi kemudahan seperti hospital, hotel, perkhidmatan bas elektrik dan sistem penapisan air.

Namun, pakar ekonomi CELIOS, Bhima Yudhistira berkata, minat pelabur terhadap projek itu masih rendah berikutan keadaan geopolitik, kenaikan kadar faedah dan risiko perubahan dasar kerajaan.

Beliau memberi amaran Nusantara berisiko menjadi projek gajah putih, iaitu pembangunan berkos tinggi tetapi memberikan impak minimum, malah mungkin berakhir sebagai aset terbiar sekiranya peruntukan kerajaan hanya mencukupi untuk menampung kos penyelenggaraan asas.

Sementara itu, OIKN memaklumkan pelabur swasta setakat ini memberikan komitmen pelaburan sebanyak AS$6bilion (RM24.6bilion), manakalaAS$10 bilion (RM41 bilion) lagi diperoleh menerusi kerjasama awam-swasta.- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini