PKR perlu tetapkan garis sempadan isu sensitiviti agama

PKR perlu tetapkan garis sempadan isu sensitiviti agama

FADZLI ROSLAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kepimpinan PKR bukan saja diminta untuk berani menetapkan garis sempadan jelas sesama parti komponen bahkan digesa menilai semula secara serius hubungan dan kerjasama dalam Pakatan Harapan (PH).

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pulau Pinang, Fadzli Roslan berkata, kenyataan Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong berhubung penutupan premis perniagaan ketika solat Jumaat mengundang pelbagai reaksi daripada masyarakat.

Katanya, ia bukan saja dikecam pihak lawan bahkan dipersoalkan oleh rakan-rakan dalam PH serta akar umbinya kerana isu itu bukan lagi berkaitan politik tetapi melibatkan sensitiviti, kebijaksaan dan tanggungjawab seseorang pemimpin.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Jika perkara sebegini terus berulang tanpa tindakan, saya berharap kepimpinan tertinggi parti mempunyai keberanian untuk menetapkan garis sempadan yang jelas dalam hubungan sesama rakan komponen. 

“Jangan sampai kesabaran akar umbi terus diuji, kepercayaan rakyat semakin terhakis dan parti-parti yang bekerja keras mempertahankan gabungan terpaksa menanggung akibat daripada tindakan segelintir individu.

“Malah, sudah tiba masanya hubungan dan bentuk kerjasama dalam gabungan dinilai secara serius sekiranya teguran berulang kali tidak diambil peduli dan sensitiviti rakyat terus dipandang ringan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, ini bukan kali pertama perkara itu dibangkitkan sebaliknya pada Kongres Angkatan Muda Keadilan lalu isu itu sudah diangkat sebagai teguran kepada pimpinan DAP.

“Namun, saya percaya bahawa sebuah gabungan politik tidak boleh dibina atas dasar membiarkan kesilapan, mendiamkan kelemahan atau menormalisasikan kenyataan yang berulang kali mengundang kemudaratan kepada perjuangan bersama.

“Perkara ini bukan sekali. Bukan dua kali. Ia telah berkali-kali disuarakan oleh akar umbi. Keluhan, teguran dan rasa tidak puas hati ini bukan sesuatu yang boleh terus dipandang enteng,” katanya.

Sebelum ini, Poay Tiong yang juga Pengerusi DAP Melaka melalui hantaran di Facebook miliknya mempersoalkan arahan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) yang mewajibkan semua premis perniagaan menghentikan operasi selama dua jam pada setiap hari Jumaat.

Beliau membangkitkan isu penguatkuasaan peraturan tersebut yang dilaksanakan di bawah pentadbiran kerajaan negeri pimpinan Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.

“Salah seorang calon bakal Perdana Menteri, Dr. Sam, telah mengarahkan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu untuk menggantung operasi semua premis komersial dari jam 12.30 tengah hari hingga 2.30 petang pada hari Jumaat serta melarang sebarang aktiviti perniagaan.

“Pesalah boleh didenda sehingga RM2,000, dipenjara sehingga setahun atau kedua-duanya sekali, selain majlis bandaraya turut mempunyai kuasa membatalkan lesen perniagaan dan mengarahkan penutupan kedai tertentu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini