KUALA LUMPUR: Skuad hoki wanita negara membuat kejutan apabila mengikat China 2-2 dalam aksi kedua Trofi Juara-Juara Asia Wanita 2026 di Bhopal, India, hari ini.
Keputusan itu pastinya bermakna buat skuad negara apabila berjaya mengutip mata menentang China yang menghuni ranking pertama Asia dan keempat dunia.
Malaysia terlebih dahulu memecah kebuntuan menerusi pukulan penalti strok Siti Nur Irdina Mohd Nor pada minit ke-31 sebelum China menyamakan kedudukan menerusi pukulan sudut penalti Wei Qixiao empat minit kemudian.
China kemudian berada di depan menerusi satu lagi pukulan sudut penalti yang disempurnakan Feng Jiaxin pada minit ke-41, namun skuad negara tidak membiarkan lawan membawa pulang kemenangan apabila Azmyra Mia Sofea Azhari menyamakan kedudukan menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-45.
Keputusan seri 2-2 itu menjadi suntikan semangat buat skuad negara untuk meneruskan cabaran dalam kejohanan berkenaan, dengan tumpuan kini beralih kepada pertemuan menentang Korea Selatan, esok.











