Ismail Lasim hilang kepercayaan 24 ADUN BN-PN? - Utusan Malaysia

Ismail Lasim hilang kepercayaan 24 ADUN BN-PN?

ISMAIL LASIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Seramai 24 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional dan Perikatan Nasional (PN) akan mengutus warkah kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir untuk memaklumkan bahawa Datuk Ismail Lasim tidak mendapat sokongan majoriti wakil rakyat sebagai Menteri Besar.

Warkah berkenaan menjadi perkembangan terbaharu kemelut politik negeri ini yang menyaksikan Majlis Mengangkat Sumpah Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) baharu yang dijadualkan berlangsung hari ini, berkemungkinan tidak diteruskan.

Ini susulan kenyataan Istana Negeri Sembilan kelmarin bahawa Ismail mesti membuktikan sokongan majoriti di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi menentukan kedudukannya selaras dengan konvensyen dan peruntukan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959.

Memuatkan artikel berkaitan…

Seorang ADUN kerajaan memberitahu Mingguan Malaysia, usul tidak percaya ber­kenaan dicapai selepas semua pihak akur dengan pendirian pucuk pimpinan yang meminta Ismail melepaskan jawatan sebagai Menteri Besar.

Katanya, kesemua 24 ADUN bakal mengutuskan warkah ke­pada Tuanku Muhriz dalam masa terdekat.

“Tak jadi majlis kerana tiada Exco yang akan angkat sum­pah. Apabila semua akur dengan pucuk pimpinan, keputusan adalah memohon Menteri Besar melepaskan jawatan be­liau. Jadi, tiadalah pelantikan Exco seperti dijadual,” katanya.

Kelmarin, seramai 24 ADUN BN dan PN Negeri Sembilan mencapai kata sepakat untuk akur dan patuh kepada arahan pucuk pimpinan dalam penyelesaian kemelut politik di negeri ini dalam satu pertemuan berlangsung di Wisma UMNO Ne­geri Sembilan.

Bagaimanapun, Ismail yang juga ADUN Juasseh tidak hadir pada pertemuan itu.

Pengerusi BN Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, semua ADUN mencapai kata sepakat untuk akur dan patuh atas apa juga arahan pucuk pimpinan dan ketetapan parti termasuk ADUN PN.

“Ini bagi memastikan segala kemelut politik yang sedang melanda dapat diselesaikan segera demi kestabilan dan kemakmuran rakyat Negeri Sembilan,” katanya.

Pertemuan itu dipercayai diadakan susulan perkenan Tuanku Muhriz terhadap Ismail agar meneruskan tugas sebagai Menteri Besar.

Dalam pada itu, sumber ber­kata, seorang wakil BN Ne­geri Sembilan dijangka mengemukakan warkah dan surat persetujuan yang ditandatangani 24 ADUN terlibat kepada Tuanku Muhriz.

“Warkah berkenaan mungkin akan dihantar ke istana oleh seorang wakil BN negeri. Surat tersebut dijangka dihantar sebelum Sidang DUN berlangsung,” katanya

Sebelum ini, Majlis Mengangkat Sumpah Exco Negeri Sembilan baharu dijadual berlangsung hari ini di Istana Seri Menanti, Kuala Pilah.

Ismail berkata, beliau mahu memberi tumpuan kepada pe­lantikan Exco yang baharu sebelum memilih tarikh bagi mengadakan Sidang DUN termasuk pembentangan Belanjawan Ne­geri Sembilan 2027. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini