PETALING JAYA: Beregu lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun berpeluang merangkul gelaran kedua, musim ini, selepas mengesahkan kemaraan ke pentas akhir pada Kejohanan Badminton Terbuka Hong Kong di Grand Hall – Kai Tai Arena, Hong Kong, hari ini.
Pasangan No. 9 dunia itu menewaskan wakil India, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty yang merupakan beregu No. 6 dunia 21-18, 21-19 dalam masa 41 minit pada separuh akhir.
Kejayaan itu juga menyaksikan Wei Chong-Kai Wun merapatkan rekod pertemuan dengan Rankireddy-Shetty kepada 2-4.
Pada perlawanan akhir, esok, beregu No. 3 Malaysia itu akan berdepan pasangan Indonesia yang menghuni ranking No. 18 dunia, Leo Rolly Carnando-Daniel Marthin.
Kali terakhir Malaysia mempunyai wakil di pentas akhir adalah pada edisi 2012, menerusi Koo Kien Keat-Tan Boon Heong.
Sementara itu, dalam aksi beregu campuran, pasangan No. 12 dunia, Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai terpaksa akur kepada jaguh No. 1 dunia, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping dari China 17-21, 18-21 dalam masa 39 minit.
Kekalahan itu adalah kali ketujuh berturut-turut dialami Soon Huat-Shevon di tangan Yan Zhe-Dong Ping. – UTUSAN










